Tiga lelaki termasuk dua adik beradik tiri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu semalam atas tuduhan menculik dan merogol seorang remaja perempuan pada Disember tahun lepas.
Mohd Sabri Rosli, adik tirinya Wan Hafiz Wan Omar dan Norizal Mamat mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan itu dibacakan kepada mereka di hadapan Hakim Zainal Abidin Kamaruddin.
Mohd Sabri, 27, Norizal, 28, dan Wan Hafiz, 21, dituduh secara bersama melarikan remaja perempuan berumur 16 tahun berkenaan dari sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Belukar Gorek, Bukit Payung, Marang pada kira-kira 4 pagi, 27 Dis tahun lepas.
Mereka juga dituduh secara berasingan merogol remaja perempuan itu di sebuah rumah bernombor 1908-A, Kampung Gelong Gajah, Jalan Pasir Panjang, Kuala Terengganu antara kira-kira 5.40 pagi hingga 6.40 pagi pada hari yang sama.
Bagi pertuduhan menculik, mereka didakwa mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda dan pertuduhan merogol mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Selain itu Wan Hafiz turut berdepan satu lagi pertuduhan iaitu meliwat remaja itu mengikut Seksyen 377(c) Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat.
Hakim menetapkan 10 Feb ini sebagai tarikh sebutan semula kes itu.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Fazliah Mahmud manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam.
No comments:
Post a Comment