Tuesday, January 11, 2011

Tiga Nelayan Terengganu Ditahan Di Kepulauan Natuna, Indonesia, Dibebaskan

Tiga nelayan tempatan yang ditahan Tentera Nasional Indonesia (TNI) Angkatan Laut di kepulauan Natuna, Riau sejak 29 Sept lepas kerana didakwa memasuki perairan Indonesia akhirnya berjaya dibawa pulang Sabtu lepas oleh Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno.

Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno Datuk Muhd Khairun Aseh berkata ketiga-tiga nelayan dari Terengganu itu dibebaskan hasil kerjasama dan perbincangan dengan Kementerian Hukum dan Hak Asasi Manusia Indonesia dan TNI Angkatan Laut.

Konsulat Malaysia di Pekan Baru, Indonesia turut membantu dalam pembebasan ketiga-tiga nelayan itu, katanya pada sidang akhbar di sini hari Isnin.

Ketiga-tiga nelayan itu, Adenan Said, 49, Saifullizan Hamzah, 29, dan Almi Awang, 43, ditahan TNI Angkatan Laut semasa menangkap ikan di sempadan perairan Malaysia-Indonesia pada pukul 9 pagi, 29 Sept lepas atas dakwaan memasuki perairan Indonesia.

Ketiga-tiga mereka yang akan pulang ke kampung masing-masing di Dungun, Terengganu malam ini bersyukur dapat kembali ke tanah air dan menyifatkan pengalaman itu tidak dapat dilupakan.

Almi berkata ini adalah kali pertama ditahan oleh pasukan tentera luar negara setelah 12 tahun menjadi sebagai nelayan.

Bagaimanapun pengalaman tersebut tidak akan mematahkan semangat mereka dan akan turun kembali ke laut untuk menangkap ikan selepas berehat satu atau dua bulan, katanya.

Semasa ditahan mereka dilayan dengan baik oleh pihak tentera Indonesia, namun tidak dibenarkan membuat panggilan telefon, katanya.

Menceritakan detik cemas ketika ditahan, Almi berkata mereka sedang mengangkat bubu apabila sebuah kapal tentera Indonesia menuju ke arah mereka.

"Pemandu bot kami, yang merupakan warga Indonesia, menukar laluan ke arah timur, namun kapal tentera Indonesia menghimpit bot kami dan menyuruh pemandu menaiki kapal mereka.

"Setengah jam kemudian, empat anggota tentera laut Indonesia menaiki bot kami lalu mengarahkan kami menuju ke Pulai Ranai, (berhampiran kepulauan Nadi dalam daerah Natuna), yang mengambil masa satu malam perjalanan," katanya.

Almi berkata mereka kemudian ditahan di Pulau Ranai kerana didakwa memasuki perairan Indonesia.

No comments:

Post a Comment