Dua buah kedai runcit dan sebuah Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di Felda Neram Dua di sini, dipecah masuk malam kelmarin, menyebabkan sejumlah barangan makanan dan wang tunai yang kesemuanya bernilai lebih RM5,000 dilarikan pencuri.
Wang tunai yang dilarikan itu termasuk tabung makanan pelajar istimewa PDK lebih RM300.
Apa yang menghairankan, penceroboh turut meninggalkan tulisan 'Lanun tarbus, terima kasih dan makan malam' di papan puteh premis berkenaan.
Salah seorang peniaga kedai runcit yang menjadi mangsa, Zaid Din, 43, berkata, kejadian disedari anak perempuannya ketika hendak memulakan perniagaan pukul 8 pagi.
Katanya, anaknya itu kemudian terus menghubunginya dan hasil pemeriksaan mendapati berpuluh-puluh kartun rokok dan sejumlah wang tunai di dalam laci telah lesap.
"Apabila kedai dibuka, kami dapati sebahagian barangan termasuk rokok dan wang telah hilang, kami lalu membuat laporan di Balai Polis Bandar Ceneh Baru," katanya di sini semalam.
Katanya, dia mengesyaki pencuri terbabit memecah masuk kedainya melalui pintu belakang berdasarkan kesan umpil pada kunci pintu berkenaan.
Sementara itu, Penyelia PDK Felda Neram Dua, Zaini Muda, 45, berkata, dia terkejut apabila melihat semua barangan dalam kelas bertaburan melalui tingkap cermin sebelum membuka pintu.
Katanya, setelah melakukan pemeriksaan, dia mendapati sebuah tabung yang digunakan untuk menyimpan duit makanan pelajarnya telah hilang dan sebahagian barangan makanan pelajar turut dicuri.
"Setelah mendapati berlaku kecurian, kami membuat laporan di Balai Polis Bandar Ceneh baru kira-kira pukul 8 pagi," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Supritendan Abdullah Sani Salat ketika dihubungi semalam mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut.
No comments:
Post a Comment