Tuesday, February 8, 2011

Curi Bijih – Ahmad Said Mahu Heret Pegawai Kepada SPRM

Keratan laporan teganuku mengenai lawatan MB ke lombong berkenaan, Ogos tahun lalu.

Semalam, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berang dan berjanji untuk mengheret mereka yang mencuri bijih besi sekitar kawasan lombong di Bukit Besi.
Menghairankan, walaupun ada kejadian tetapi seolah-olah tiada laporan mengenai kejadian itu.

Apakah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) tidak pernah membuat laporan atau pihak polis tidak dapat bertindak kerana sebab-sebab tertentu?

Difahamkan beliau bukan sahaja berang dengan kejadian tetapi pegawai dan mereka yang diberikan amanah menjaga kawasan itu kerana kegiatan perlombongan besar-besaran akan dilakukan tidak lama lagi.

Ini bukan kali pertama kejadian malah sebelum ini pun Menteri Besar sudah dimaklumkan mengenai kejadian itu.

Sebelum ini ada pegawai Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Daerah Dungun yang dipanggil ke Wisma Darul Iman untuk memberikan maklumat mengenai kejadian.

Ini kerana ketika melawat kawasan berkenaan pada Januari dan Ogos tahun lalu, Ahmad Said turut berang kerana kejadian kerugian bagaikan tidak boleh dikawal.

Beliau sebelum ini sudah meminta PTG Daerah Dungun dan beberapa pejabat lain berkaitan menjamin kawasan lombong Bukit Besi dijaga rapi kerana bijih besi adalah milik rakyat.

Menteri Besar tidak dapat menahan kemarahan ketika melawat kawasan itu sekali lagi tengah hari semalam dan perkara yang sama diulangi ketika berucap pada majlis penyerahan E-Book kepada murid tahun lima Dun Bukit Besi di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Besi petang semalam.

Menurut satu sms yang diterima teganuku, Menteri Besar tidak dapat menerima kejadian berulang apabila arahan demi arahan dikeluarkan sebelum ini.

Berikutan itu, beliau mengarahkan PTG supaya membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut secepat mungkin supaya mereka yang terlibat didakwa dengan segera.

Selain itu beliau berikrar membawa ke muka pengadilan mereka yang terlibat dengan kegiatan mencuri bijih di Lombong Bukit Besi Dungun.

Menurut laporan teganukita hari ini beliau bersedia melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai kejadian ini.

“Saya juga akan panggil Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) supaya siasat kejadian ini (kecurian biji besi) katanya.

Menurut teganukita, Menteri Besar kecewa dengan kejadian tersebut yang dipercayai melibatkan pegawai yang diberi tanggungjawab untuk menjaga kawasan lombong bijih besi tersebut.

"Selama ini bila berlaku penyelewengan orang ramai menyalahkan orang politik, tetapi dalam kes ini ia melibatkan pegawai (kakitangan kerajaan) yang yang tidak bertanggungjawab," ujar beliau.

Beliau berkata kerajaan tidak akan bertolak ansur dengan mereka yang terlibat dalam jenayah tersebut kerana ia melibatkan harta awam.

Ahmad Said menegaskan integriti perlu wujud bukan sahaja di kalangan orang politik tetapi juga meliputi pegawai takbir dan penjawat awam.

Apakah mereka yang terlibat akan terlepas kali ini?

Juga jika dibuat laporan polis, hasil siasatan polis pastinya akan lebih menjelaskan pihak yang terlibat.

Ketika melawat kawasan lombong berkenaan semalam, tiada kelihatan ADUN Bukit Besi, Datuk Din Adam bersama Menteri Besar dan begitu juga pada penyampaian e-Book kepada pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Besi.

No comments:

Post a Comment