Thursday, February 17, 2011

Agihan Pakaian Sekolah Di Terengganu Ditangguh Kerana Pertindihan Permohonan

Kerajaan Terengganu terpaksa menangguhkan pengagihan bantuan pakaian sekolah kepada pelajarnya disebabkan terdapat 2,654 permohonan bertindih beberapa kali.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata permohonan yang bertindih itu mungkin disebabkan ibu dan bapa murid sudah berpisah.

"Pertindihan mungkin berlaku apabila ibu buat permohonan, bapa buat permohonan, mungkin nenek pun ada buat permohonan kerana pelajar tinggal bersamanya," katanya selepas mesyuarat mingguan exco kerajaan negeri di Kuala Terengganu, semalam.

Ahmad Said berkata perkara disedari apabila disemak melalui kad pengenalan dan surat beranak pelajar melalui data peribadi mereka.

Program agihan bantuan pakaian sekolah yang menelan kos RM12 juta itu sepatutnya bermula minggu depan terpaksa ditunda sehingga dua minggu lagi berikutan masalah yang berlaku itu.

Kini terdapat 106,000 permohonan bagi mendapatkan bantuan pakaian sekolah manakala yang layak adalah 12,000 pemohon, kata Ahmad.

No comments:

Post a Comment