Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) akan memberi autonomi kepada empat kampus cawangannya iaitu Sarawak, Perlis, Perak dan Terengganu.
Pemberian autonomi kepada empat kampus cawangan UiTM akan menjadi pendorong kepada kampus cawangan yang lain untuk meningkatkan prestasi agar mereka untuk turut mendapat autonomi.
UiTM kini menampung jumlah pelajar yang ramai iaitu 180,000 sekarang dan akan mencecah 200,000 pada 2015, maka sudah tentulah dalam berjaya mencapai kuantiti, UiTM tidak boleh lupa kepada soal kualiti. Pemberian autonomi ini juga bertepatan dengan fokus UiTM terhadap kualiti.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata di Shah Alam hari ini, UiTM kini memiliki 12 kampus cawangan dan apabila cawangan-cawangan baru siap dibina, UiTM dijangka mempunyai lebih daripada 20 kampus cawangan di seluruh negara.
Mohamed Khaled berkata kampus cawangan yang mempunyai autonomi mempunyai kuasa seperti boleh membuat sesetengah keputusan tanpa perlu merujuk kepada kampus utama, mengambil pensyarah terbaik serta mengadakan majlis konvokesyen sendiri.
Katanya, Kementerian Pengajian Tinggi mensasarkan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di seluruh negara akan memiliki autonomi penuh menjelang 2015.
Beliau berkata autonomi kebiasaannya disamakan dengan soal kecemerlangan dan pihak IPT selalu memberi alasan bahawa mereka tidak begitu cemerlang kerana tidak ada autonomi.
"Bermula tahun ini, kita akan lihat kepada beberapa aspek seperti tadbir urus, kewangan serta kemasukan pelajar dan mana-mana (IPT) yang telah bersedia kita akan mula untuk lihat perubahan yang perlu dibuat kalau nak jalankan autonomi.
"(Menjelang 2015) tiada alasan bagi mana-mana IPT untuk tidak ambil autonomi," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Konferensi Akademik 2011 Universiti Teknologi MARA (UiTM) hari ini.
Seramai 4,000 kakitangan UiTM menyertai program selama tiga hari yang bertemakan 'Menjuarai Kecemerlangan Universiti' yang turut diikuti oleh semua warga universiti dari 12 kampus cawangan di setiap negeri menerusi teknologi telekonferensi.
Pada majlis perasmian tersebut, Naib Canselor UiTM Datuk Profesor Sahol Hamid dipilih sebagai penerima Tokoh Anugerah Akademik UiTM 2010 yang membolehkan beliau membawa pulang wang tunai RM10,000 berserta pingat dan sijil.
No comments:
Post a Comment