Daya tarikan Taman Tamadun Islam (TTI)terus dipertingkatkan dengan dua lagi monumen, iaitu replika masjid Singapura dan kincir air purba Syria siap menjelang akhir bulan Jun tahun ini.
Sebuah panggung dengan paparan tiga dimensi (3D) juga sedang disiapkan untuk memaparkan salur galur pengisahan mengenai Masjidilharam dan kegiatan ibadat haji dengan lebih berkesan.
Pengarah Urusan syarikat itu, Engku Md. Azmi Engku Abd. Rahman, berkata ketika ini, TTI yang terletak di pulau Wan Man di sini memiliki 21 replika monumen berkaitan sejarah Islam.
"Dengan pembinaan projek penambahan sebanyak RM6 juta ini, jumlah keseluruhan replika akan menjadi 23 buah.
"Justeru, kita berharap, apabila siap projek ini kelak, pengunjung akan berpeluang melihat beberapa lagi keindahan seni bina dan hasil kreativiti serta teknologi masyarakat Islam terdahulu," katanya.
Sementara itu, tiga patah perkataan yang disusun memberi tuah kepada seorang pesara kerajaan setelah muncul sebagai pemenang peraduan mencipta slogan TTI.
Dengan slogan 'Teruja terokai inspirasi', Mohd. Hamdan Maliki, 54, mengalahkan empat peserta lain yang dinilai di peringkat akhir dan menerima pakej melancong ke China selama empat hari tiga malam.
Ketika ditemui pemberita, Mohd. Hamdan yang menetap di Kampung Losong Dato' Amar di sini bersyukur kerana daripada 700 orang menyertai pertandingan, dia yang mengambil masa hanya 20 minit untuk menyiapkannya dipilih sebagai pemenang.
"Saya akan menghadiahkan pakej percutian itu kepada adik saya," katanya selepas majlis penyampaian hadiah bagi peraduan itu di sini, semalam sempena Karnival Mini TTI.
Hadiah disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah TTI Management Sdn.Bhd., Datuk Zakaria Awang.
Hadir sama Pemenang tempat kedua hingga kelima masing-masing membawa pulang hadiah berupa pakej penginapan di hotel-hotel terkemuka di samping tiket masuk ke Taman Monumen TTI dan tiket menyusuri sungai.
Karnival selama sembilan hari itu dimeriahkan dengan pertandingan kaligrafi peringkat sekolah dan dewasa, pertandingan soalan terkumpul TTI & Terengganu FM (TFM) serta pertandingan sukaneka untuk ahli jawatankuasa masjid di seluruh negeri ini.
No comments:
Post a Comment