Monday, February 7, 2011

Hakim Arah Lelaki Tak Siuman Bunuh Bapa Ke Hospital Permai

Shahrulk Azmi dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, semalam selepas dibebaskan daripada tuduhan membunuh bapanya tahun lalu.

Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, semalam melepas dan membebaskan seorang pemuda daripada tuduhan membunuh bapanya Februari tahun lalu setelah mendapati dia berada dalam keadaan tidak siuman ketika melakukan perbuatan itu.

Bagaimanapun Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Yazid Mustafa mengarahkan tertuduh Shahrul Azmi Che Mat, 21, diletak di bawah jagaan di Hospital Permai, Johor Bahru sehingga ke tempoh yang diperkenan Sultan Terengganu.

Mohd Yazid dalam penghakimannya, berkata walaupun pihak pendakwa menerusi keterangan lapan orang saksinya berjaya membuktikan tertuduh melakukan kesalahan dengan membunuh bapanya Che Mat Nik, 51, namun pihak pembelaan membuktikan tertuduh tidak siuman ketika melakukan perbuatan itu.

“Keterangan saksi pembelaan Pakar Perunding Psikiatri (Forensik) Hospital Permai, Johor Bahru, Dr Badi’ah Yahya menyatakan tindakan tertuduh ketika menikam ayahnya pada pagi kejadian adalah berada dalam keadaan tidak siuman.

“Dia juga tidak sedar bahawa perbuatan yang dilakukannya itu bersalahan daripada segi undang-undang,” katanya.

Tertuduh didakwa membunuh bapanya di rumah mereka di Kampung Duyung Besar, Kuala Terengganu pada 2 pagi, 3 Februari 2010 dan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Dalam kejadian itu, tertuduh dilaporkan turut menikam abangnya, Irwan Affendi, 31, dengan menggunakan sebilah pisau rambo ketika sedang tidur menyebabkan mangsa menjerit meminta pertolongan daripada bapanya.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Jazamuddin Ahmad Nawawi manakala tertuduh diwakili peguam bela daripada Tetuan Mohd Yusof Endut & Associate.

Keputusan mahkamah itu disambut gembira oleh ahli keluarga tertuduh yang memenuhi galeri awam dan tertuduh yang memakai baju berwarna putih serta berseluar sukan berwarna gelap dilihat sempat melemparkan senyuman kepada keluarganya ketika hendak dibawa keluar dari kamar mahkamah.

Bapa saudara mangsa, Razali Hassan, 50, ketika ditemui berkata kesemua ahli keluarga bersyukur dan terharu dengan keputusan mahkamah itu namun mereka tetap bersedih kerana tertuduh terpaksa berpisah dari keluarga.

Beliau yang mewakili ahli keluarga tertuduh turut mengucapkan terima kasih kepada agensi-agensi kerajaan terutama Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Sekolah Menengah Bukit Tunggal yang banyak memberi sokongan moral termasuk khidmat kaunseling kepada keluarga itu sebelum ini.

No comments:

Post a Comment