Sunday, February 20, 2011

Grand Prix Akhir Kebangsaan Hilang Aura di Terengganu?

Entah di mana silapnya, kehadiran jaguh kebangsaan yang juga pemain No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei seolah-olah tidak memberi ‘aura’ kepada Kejohanan Badminton Grand Prix Akhir Kebangsaan untuk menarik perhatian penonton.

Sebaliknya, aksi hari pertama di Stadium Negeri, Kuala Terengganu semalam hanya memperlihatkan kehadiran kurang daripada 200 penonton.

Jumlah itu jauh lebih kecil jika dibandingkan dengan kapasiti stadium yang mampu memuatkan 3,000 orang dalam satu-satu masa.

Situasi itu sekali gus menimbulkan tanda tanya mengenai tahap penganjuran kejohanan bertaraf kebangsaan itu yang boleh diibaratkan seperti ‘asal siap’ tanpa memikirkan langsung sambutan daripada penonton.

Bagaimanapun, Presiden Persatuan Badminton Terengganu, Datuk Sayed Abu Bakar Abdullah ketika menjawab persoalan itu menjelaskan, ia sebenarnya berpunca daripada pertukaran tarikh asal kejohanan.

“Sepatutnya, kejohanan ini diadakan dua hari lalu, tetapi ia terpaksa ditangguhkan memandangkan gelanggang ke johanan iaitu Stadium Negeri digunakan untuk sambutan Maulidur Rasul,” katanya.

Justeru kata Sayed Abu Bakar, tidak timbul sebenarnya soal kejohanan ini kurang mendapat sambutan kerana ia hanya berpunca daripada perubahan tarikh sahaja.

“Mungkin ramai yang tidak tahu tarikh kejohanan ini telah diubah ke hari ini (semalam) dan sebab itu kehadiran tidak begitu tinggi.

”Jadi, saya harap peminat badminton tanah air khususnya yang berada di Terengganu dapat sama-sama menghadirkan diri untuk baki kejohanan ini,” katanya yang juga bertindak sebagai Pengerusi Pengelola Kejohanan.

Pada masa sama, Sayed Abu Bakar juga berharap orang ramai dapat menggunakan peluang ini untuk menyaksikan sendiri aksi pemain kebangsaan seperti Datuk Lee Chong Wei beraksi.

Selain Chong Wei, antara pemain lain yang turut beraksi ialah Mohd. Fairuzizuan Mohd. Tazari, Tan Boon Heong, Sonia Cheah, Chin Eei Hui, Muhammad Hafiz Hashim dan Muhammad Arif Ab. Latif.

Kejohanan Badminton Grand Prix Akhir Kebangsaan yang akan berakhir pada 21 Februari ini merupakan kejohanan penutup musim bagi kalendar badminton negara dan menawarkan hadiah kemenangan keseluruhan berjumlah RM84,000.

Kosmo! 19 Februari 2010

No comments:

Post a Comment