Monday, February 14, 2011

Hakisan Pantai – Pemimpin PAS Perlu Juga Jenguk di Kelantan

Saudah Ibrahim menunjukkan benteng pasir dan batang kelapa dibina penduduk kampung untuk menyelamatkan rumahnya daripada dipukul ombak di Kampung Kuala Pak Amat, Pengkalan Chepa, semalam. - Utusan

Apabila pemimpin PAS Terengganu melalui portal berita rasminyanya menyalahkan kerajaan negeri kerana hakisan yang semakin membahayakan penduduk, mereka tidak pula melihat apa yang berlaku di negeri jiran yang diperintah oleh PAS – Kelantan.

Pemimpin PAS Terengganu bagaikan lupa bahawa fenomena hakisan pantai ini berlaku bukan sahaja di Terengganu tetapi semua tempat.

Namun oleh kerana kepentingan sokongan kononnya membela rakyat mereka menyalahkan kepimpinan Datuk Seri Ahmad Said.

Hari ini, Utusan Malaysia melaporkan, seorang penghuni rumah di Kampung Pulau Pak Amat Pengkalan Chepa, Saudah Ibrahim, 67, meminta berkuasa tempatan (PBT) mengambil langkah segera membendung masalah hakisan pantai yang berlaku memandangkan beberapa buah rumah di situ berisiko tinggi dihanyutkan ombak.

Beberapa penduduk kampung yang ditemui mendakwa hakisan tersebut telah berlarutan sejak beberapa bulan lalu malah di beberapa kawasan mengancam keselamatan beberapa rumah yang ada daripadanya hanya beberapa meter dari pasir yang terhakis.

Oleh kerana kebanyakan rumah kini terletak hanya 10 meter dari kawasan hakisan menyebabkan mereka sentiasa diselubungi kerisauan setiap hari.

Saudah tinggal di rumah tersebut bersama 12 ahli keluarganya yang lain.

Kerana itu sama ada pemimpin PAS di Seberang Takir, Rhu Rendang atau di Kemaman, janganlah ikut sedap mulut menyalahkan kerajaan kerana Menteri Besar sendiri tidak pernah melupakan masalah ini.

Ini kerana pada 2 Februari lalu, kerajaan Negeri Terengganu telah mengarahkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menjalankan kajian bagi mencari pendekatan atau sistem bersesuaian untuk mengatasi masalah hakisan yang berlaku di beberapa kawasan pantai.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata kajian itu penting kerana hakisan yang berlaku terutama di sepanjang pantai Kampung Tok Jembal di sini dan Pantai Teluk Lipat di daerah Dungun adalah agak serius.

"Kita mahu JPS buat kajian mendalam bagi mengatasi masalah yang berlaku. Masalah ini sering terjadi terutama pada musim tengkujuh apabila laluan ombak terhalang oleh benteng pemecah ombak di kawasan projek pembangunan. Bila kita halang laluan ombak seperti membina pelabuhan di Cendering, hakisan akan berlaku di kawasan sekitar seperti Rhu Rendang, begitu juga apabila kita buat pelabuhan di Kemaman, hakisan berlaku pula di kawasan Pupuk Semangat dan ia tidak berkesudahan," katanya.

Jadi, tidaklah benar dakwaan pemimpin PAS Terengganu mengatakan kerajaan negeri tidak berusaha mengatasi masalah berkenaan.

Rasanya baik juga pemimpin PAS Terengganu bertanyakan rakan mereka di Kelantan, bagaimana caranya mengatasi hakisan pantai yang diakibatkan ombak besar khususnya pada musim tengkujuh.

Mungkin kalau ada jawapan, kerajaan Terengganu boleh mempelajarinya!

No comments:

Post a Comment