Wednesday, February 16, 2011

Isu Lembah Citrus - PTG Diarah Bertindak

Pengusaha tanaman limau madu di Durian Mentangau, Dungun tidak boleh sewenang-wenangnya menggantikan tanaman itu dengan tanaman lain termasuk kelapa sawit.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, tanah yang diberikan kebenaran kepada syarikat-syarikat untuk menjayakan projek lembah sitrus itu boleh diambil semula oleh kerajaan jika mereka melanggar syarat yang ditetapkan.

“Kita beri tanah untuk mereka (pengusaha) tanam limau madu, tapi mereka menyalahgunakan tanah itu. Malah, ada yang dari awal dah tanam kelapa sawit.

“Sehubungan itu, saya telah arahkan Pengarah Tanah dan Galian negeri (Osman Muda) untuk siasat dan ambil tindakan,” katanya di sini hari ini.

Difahamkan lembah sitrus yang diwartakan untuk tanaman itu dirancang pembangunan kira-kira sedekad yang lalu bagi menjadikan Terengganu pengeluar limau tempatan terbesar di negara ini.

Untuk tujuan tersebut, tanah seluas 1,500 hektar itu telah diagihkan apabila setiap 50 hektar tanah diserahkan kepada lapan syarikat berasingan untuk dimajukan.
Namun, ia berdepan dengan kegagalan akibat serangan penyakit dan mereka keberatan untuk meneruskannya.

Ahmad Said memberitahu, sistem yang digunakan untuk penanaman limau madu di negeri ini sebenarnya gagal berfungsi kerana ia memudahkan penyakit citrus greening merebak.
Katanya, walaupun beberapa pakar telah dipanggil untuk membuat kajian, namun hasilnya tetap negatif.

“Justeru, kita sedang cari alternatif lain untuk ganti limau madu. Bagaimanapun, kita akan tetap gunakan tanah itu untuk tujuan pertanian tetapi dalam bentuk (tanaman) lain,” katanya.

Sebelum ini dilaporkan kerajaan negeri akan menentukan kedudukan lembah sitrus selepas mendengar pandangan pengusaha tanaman tersebut mengenai masalah yang mereka hadapi bagi memastikan keputusan yang terbaik dapat diambil dan memuaskan hati semua pihak.

Mengenai hal itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Ashaari Idris (gambar kiri) berkata, pihaknya prihatin terhadap nasib yang dialami oleh lapan pengusaha limau madu di kawasan itu yang dikatakan mengalami kerugian besar disebabkan serangan penyakit.

“Kebanyakan pengusaha tidak mahu meneruskan tanaman limau dan mereka lebih berminat untuk menanam kelapa sawit kerana harga komoditi ini tinggi di pasaran dan kurang risiko berbanding limau madu.

“Kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan dengan pengusaha-pengusaha tanaman ini dalam masa terdekat bagi meninjau pandangan mereka. Selepas itu kita akan membuat keputusan sama ada meneruskan tanaman ini dengan kaedah lain atau membenarkan mereka menanam kelapa sawit,” ujar Ashaari

Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment