Wednesday, February 16, 2011

MB Minta Rakyat Perkukuh Perpaduan

Ahli Majlis Perwakilan Pemangku Raja, Tengku Seri Laksamana Raja Tengku Sulaiman Sultan Ismail dan Ahmad Said pada majlis sambutan Maulidur Rasul di Stadium Negeri semalam. - Gambar-gambar Zul Putra.

Menteri Besar, Datuk Seri Haji Ahmad Said meminta penduduk negeri ini mengambil kesempatan sambutan Maulidul Rasul tahun ini dengan mengukuhkan perpaduan dan mengembeleng tenaga bagi membantu kerajaan membangunkan negeri ini dalam pelbagai aspek, terutama pendidikan.

Beliau berkata, tidak ada gunanya rakyat berselisih faham dan bercakaran sesama sendiri sedangkan pentadbiran negeri menjadi lemah dan tidak berupaya melaksanakan pelbagai program dan projek yang boleh membantu meningkatkan taraf hidup rakyat.

“Saya mengucapkan selamat menyambut Maulidur Rasul kepada semua rakyat Terengganu. Marilah kita sama-sama menyambut hari kebesaran yang bertemakan 1Malaysia 1Ummah ini dengan penuh tawadhu’ dan kesyukuran dengan merapatkan hubungan silaturahim sesama kita,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena sambutan Maulidur Rasul Tahun 1432 Hijrah peringkat negeri Terengganu yang diadakan di Dataran Shah Bandar, Kuala Terengganu pagi semalam.

Seramai 4,000 umat Islam membabitkan 110 kontinjen dari jabatan dan agensi kerajaan, pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi, syarikat swasta dan pasukan beruniform berarak dari Dataran Shah Bandar hingga ke Stadium Negeri.

Ahli Majlis Perwakilan Pemangku Raja, Tengku Seri Laksamana Raja Tengku Sulaiman Sultan Ismail dan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said turut hadir pada majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri yang diisi dengan persembahan nasyid, pidato dan deklamasi sajak.

Isteri Menteri Besar, Toh Puan Seri Norliza Mahmud; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah, Penasihat Undang-Undang Negeri, Noorbahri Baharudin, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, wakil-wakil rakyat dan ketua-ketua jabatan turut menyertai perarakan yang bermula dari dataran Shah Bandar hingga ke Stadium Negeri.

Orang ramai turut membanjiri jalan raya sekitar Jalan Sultan Zainal Abidin menuju ke Bulatan Ladang, bagi menyaksikan perarakan tersebut.

Selain perarakan, diadakan juga majlis Jamuan Sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Terengganu bertempat di Istana Maziah, Kuala Terengganu selain majlis Permata Peringkat Negeri Terengganu bertempat di Wad Bersalin, Tingkat 1 (CD) dan 2 (A) Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

No comments:

Post a Comment