Monday, February 28, 2011

Jualan Pasar Tani Di Terengganu Dijangka Meningkat RM22.5 Juta

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) menjangka jualan pasar tani di Terengganu tahun ini meningkat kepada RM22.5 juta berbanding RM20 juta tahun lepas.

Pengarah Fama negeri Hasan Jusoh berkata ini berikutan Fama akan membuka empat lagi pasar tani tahun ini menjadikan jumlah keseluruhan pasar tani di negeri ini 20 buah.

Empat pasar tani yang akan dibuka itu ialah di Dungun, Hulu Terengganu, Besut dan Kemaman dengan masing-masing dapat menempatkan sekurang-kurangnya 50 peserta, katanya kepada Bernama di sini Ahad.

Hasan berkata selain makanan basah, pasar tani di Terengganu banyak menjual ikan air tawar hidup seperti ikan keli, haruan, baung dan toman.

Ia penyumbang terbesar kepada hasil pasar tani di negeri ini setiap tahun, katanya.

Sementara itu, kira-kira 200 orang, terdiri daripada mereka yang terlibat dalam industri pertanian akan menyertai seminar sehari Penggredan, Pelabelan dan Pembungkusan anjuran Fama April ini yang bertujuan menggalakkan pengusaha menghasilkan produk makanan yang selamat dan berkualiti.

No comments:

Post a Comment