Monday, February 28, 2011

YT Tunggu Pengumuman MKN Sebelum Hantar Pelajar Pulang

Yayasan Terengganu (YT) menunggu pengumuman daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum menghantar pulang pelajar tajaannya ke Mesir.

Ketua Penolong Bahagian Tajaan Pelajar YT, Mohd Razali Mahmud berkata beliau difahamkan beberapa buah universiti di Mesir bakal memulakan pengajian antara 12 Mac dan 8 April ini.

"Bagaimanapun YT masih menunggu pengumuman MKN sebelum membuat keputusan menghantar pelajar pulang ke Mesir," katanya semalam.

Mohd Razali berkata langkah itu bertujuan memastikan tahap keselamatan di Mesir terjamin kepada pelajar Malaysia.

YT menaja 247 pelajar di lapan buah universiti di Mesir dalam bidang pengajian Islam, perubatan dan pergigian yang pulang ke Terengganu baru-baru ini.

Pelajar tajaan YT yang paling ramai ialah di Universiti Al-Azhar iaitu seramai 95 orang yang mengikuti bidang pengajian Islam dan perubatan, diikuti di Universiti Mansoura (44 pelajar), Universiti Mansoura-Manchester (35 pelajar) dan Universiti Ain Sham (34 pelajar).

Lain-lain unviversiti ialah Universiti Tanta (21 pelajar), Universiti Alexandra (14 pelajar) dan Universiti Zagazig (empat pelajar).

Terengganu turut mempunyai seramai 509 pelajar di Mesir di bawah tajaan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu, Majlis Amanah Rakyat dan juga pelajar persendirian.

Hanya 13 pelajar persendirian yang mengambil keputusan tidak pulang dari Mesir.

No comments:

Post a Comment