Sunday, February 20, 2011

Kelas Hafaz Al-Quran Bakal Wujud Di 10 Sekolah Agama Kerajaan Di Terengganu

Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) akan mewujudkan kelas menghafaz Al-Quran di 10 sekolah agama kerajaan tahun ini bagi memenuhi permintaan ibu bapa yang mahu anak mereka menguasai bidang itu.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri Khazan Che Mat berkata usaha JHEAT itu mampu menampung permintaan ibu bapa yang selama ini memilih sekolah Imtiaz bagi membolehkan anak mereka menghafaz Al-Quran.

"Kerajaan negeri tidak mampu hendak mewujudkan lebih banyak sekolah Imtiaz. Jadi, langkah ini dilihat mampu menampung kehendak ibu bapa. Sebagai permulaan, ia melibatkan pelajar tingkatan satu yang akan menghafaz sebanyak enam juzuk setahun.

"Insya-Allah, pelajar-pelajar itu akan khatam apabila tamat tingkatan lima nanti," katanya kepada pemberita selepas Seminar Pemantapan Ummah guru sekolah agama Terengganu pada Khamis, yang turut dihadiri Pesuruhjaya JHEAT Sheikh Harun Ismail.

Beliau berkata bagi memperkasa penguasaan Bahasa Arab dan Al-Quran di sekolah terbabit, seramai 27 guru dari Mesir, Sudan dan Syria diambil sebagai guru kontrak berikutan peningkatan prestasi dalam bidang berkenaan di Terengganu sejak kehadiran guru dari Timur Tengah tiga tahun lalu.

No comments:

Post a Comment