Sunday, February 13, 2011

Kemaman Dapat Hospital Baru, RM10j Menaiktaraf Hospital Sedia Ada

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai ditemani Menteri Besar, Datukb Seri Ahmad Said dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek melawat pesakit di Hospital Kemaman semalam. - Gambar Zul Putra

Kerajaan negeri prihatin terhadap aspek kesihatan dan perbelanjaan yang besar dikeluarkan pada setiap tahun bagi menambah nilai kemudahan kesihatan di negeri ini.

Tahun lalu peruntukan RM7.6 juta dikeluarkan kerajaan negeri bagi membeli pelbagai peralatan untuk kegunaan Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, berkata kerajaan negeri juga mengeluarkan banyak perbelanjaan bagi membiayai rawatan pesakit kronik agar penduduk negeri ini mendapat rawatan terbaik.

Selain usaha itu, bagi mengatasi masalah kesesakan di Hospital Kemaman pula, katanya, kerajaan negeri telah bersetuju menyerahkan tanah seluas 20 hektar di Bandar Baru Kijal bagi membina sebuah hospital baru.

“Kerajaan negeri akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada Kementerian Kesihatan bagi memastikan pembinaan hospital baru ini berjalan lancar,” katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, ke hospital berkenaan, semalam.

Menteri berkenaan mengumumkan, kementeriannya meluluskan peruntukan sebanyak RM10 juta bagi menaik taraf Hospital Kemaman termasuk membeli peralatan CT Scan, menyediakan Unit Rawatan Rapi (ICU) dan menambah bilangan doktor pakar di hospital itu.

Pada masa ini hospital itu mempunyai 15 doktor pakar, tetapi belum mempunyai ICU.

Kelulusan serta-merta itu dilakukan selepas Menteri Kesihatan meninjau secara lebih dekat pelbagai masalah yang dihadapi pihak pengurusan hospital berkenaan.

Beliau berkata, sebahagian daripada peruntukan segera itu akan digunakan bagi menyediakan pelbagai peralatan kesihatan, termasuk CT Scan dan pelbagai peralatan untuk dewan bedah.

“Sebahagian lagi akan digunakan bagi mewujudkan wad Unit Rawatan Rapi (UCI) di hospital ini kerana hospital ini belum mempunyai kemudahan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan rasmi ke hospital berkenaan.

Selain Menteri Besar, turut serta dalam lawatan itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah, Exco Kerajaan Negeri, Dr A Rahman Mokhtar dan pegawai kanan Kementerian Kesihatan.

Liow berkata, pihaknya prihatin dengan masalah kesesakan di wad hospital berkenaan dan kekurangan doktor pakar dan langkah jangka panjang akan diambil bagi mengatasi masalah tersebut.

“Hospital baru ini akan dibina melalui Rancangan Malaysia ke-10 dengan mengambil kira pelbagai kemudahan yang diperlukan, termasuk menambah bilangan klinik-klinik pakar untuk pesakit menerima rawatan,” ujar beliau.

Apabila hospital baru siap digunakan, hospital sedia ada akan dijadikan poliklinik.

No comments:

Post a Comment