Thursday, February 3, 2011

Kerajaan Pusat Lulus Pembinaan Sekolah Sukan Kedua Di Terengganu

Ahmad Said mengumumkan sekolah sukan kedua akan dibina berhampiran Kompleks Sukan Gong Badak - Gambar Zul Putra.

Kerajaan pusat bersetuju membina sekolah sukan di negeri Terengganu dan tender untuk projek berkenaan akan dikeluarkan pada Jun depan.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata sekolah sukan kedua di Terengganu itu akan dibina di kawasan seluas lapan hektar di Gong Badak, iaitu berhampiran Kompleks Sukan Gong Badak.

Sebelum ini Terengganu sudah mempunyai sebuah sekolah sukan iaitu Sekolah Sukan Bukit Nenas di Setiu.

"Buat permulaan kerajaan pusat telah meluluskan RM25 juta bagi kerja-kerja tapak dan ia dijangka akan siap dalam tempoh 24 bulan," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri semalam.

Ahmad Said berkata konsep sekolah itu sama dengan Sekolah Sukan Bukit Jalil dan Bandar Penawar, di Johor.

Katanya majoriti pengambilan pelajar yang berbakat dalam bidang sukan untuk ke sekolah itu adalah dari Terengganu yang melibatkan antara 60 dan 70 peratus.

"Bagaimanapun pelajar hendaklah seimbangkan bidang akademi dan tidak hanya bagus dalam bidang sukan semata-mata," katanya.

Ahmad berkata sekolah itu penting bagi Terengganu kerana negeri itu merupakan kuasa sukan baru di negara ini dan ia dilihat perlu bagi menggilap bakat-bakat yang ada.

No comments:

Post a Comment