Langkah kerajaan membawa pulang pelajar dan rakyat Malaysia dari Mesir terus mendapat penghargaan.
Sekumpulan pelajar dari Terengganu yang pulang dari negara yang sedang bergolak itu melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada kerajaan kerana membawa mereka pulang ke tanah air.
Wan Md Shazami Alfaruki Wan Mazalan, 23, pelajar perubatan di Universiti Mansoura, berkata beliau tidak menghadapi sebarang masalah sepanjang perjalanan dari Mansoura ke Iskandariah kemudian ke Jeddah seterusnya ke KLIA dan akhirnya tiba di Terengganu malam kelmarin.
"Saya memang gembira dan terima kasih di atas langkah kerajaan yang membawa kami keluar dari bumi bergolak itu melalui Ops Piramid. Dengan berkat doa rakyat Malaysia, semua pelajar kita di Mesir selamat," kata Wan Md Shazmi, dari Kampung Cendering ketika ditemui di Kuala Terengganu, malam Selasa.
Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said meluangkan masa menyambut 27 pelajar pertama Terengganu tiba dari Mesir bersama tiga kanak-kanak di kediamannya di Sri Iman.
Mengenai pelajarannya yang tertangguh, Wan Md Shazami berkata, beliau akan menyambungnya selepas keadaan di negara itu kembali stabil.
Alia Shazwani Razali, 23, pelajar perubatan tahun tiga di Universiti Zagazig pula berkata, keadaan di sana sangat menggerunkan apabila tiga penjara dibom dan semua banduan terlepas keluar.
"Keadaan amat bahaya terutama kepada pelajar perempuan untuk keluar rumah kerana keadaan sudah tidak terkawal," katanya.
Bagaimanapun, katanya, tempat beliau belajar tidak seteruk di Kaherah, Iskndariah, Mansoura atau Tanta.
"Namun kita dapat lihat orang ramai merusuh dengan membawa senjata seperti kayu dan sebagainya. Kadang-kadang pengalaman ini kita rasakan ada hikmah kerana di negara kita aman, tidak ada rusuhan seteruk di Mesir," katanya.
Beliau melahirkan rasa bangga kerana kerajaan tampil menyelamatkan semua pelajar Malaysia dengan membawa mereka pulang ke tanah air..
Pelajar kursus Syariah Islam, Syed Maarof Syed Akil, 23, turut melahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada kerajaan Malaysia yang membawanya pulang.
Anak kedua daripada empat beradik yang tinggal di Kampung Cabang Tiga di sini berkata, beliau akan menyambung pelajarannya di Universiti Al-Azhar setelah keadaan kembali tenang.
"Ketika ini kami tidak tahu lagi bila kami akan menyambung pelajaran yang masih berbaki sedikit saja lagi. Sepatutnya saya menjalani periksa akhir Mei ini, tetapi dah jadi macam ni, saya tidak tahu bila pula saya dapat habiskan pengajian saya," katanya.
Ibunya Sharifah Hafizah Syed Ahamd, 53, pula melahirkan terima kasih yang tidak terhingga kepada kerajaan Malaysia kerana membawa pulang anaknya ke pangkuan keluarga.
"Saya sangat-sangat berterima kasih di atas pengorbanan kerajaan membawa anak saya dan pelajar Malaysia yang lain dari negara yang sudah kucar kacir itu. Saya kagum dengan tanggungjawab yang diperlihatkan kerajaan kita," katanya.
Ahmad pula berkata kerajaan Terengganu sedang merancang untuk membawa baki pelajar Terengganu yang masih berada di Jeddah pulang terus ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud Kuala di sini.
Sehingga ini seramai 85 daripada 756 keseluruhan pelajar Terengganu telah pulang dan Rabu ada beberapa penerbangan lagi membawa pelajar Terengganu pulang ke tanah air.
No comments:
Post a Comment