Sunday, February 6, 2011

Lebih1,000 Pelajar Sudah Dibawa Keluar Dari Kaherah

Sebahagian pelajar Malaysia memasuki pesawat TUDM C130 yang memuatkan kira-kira 200 penumpang berlepas dari Lapangan Terbang Cairo pada Sabtu. Foto BERNAMA

Sehingga pukul 9.20 malam waktu tempatan semalam (2.20 pagi waktu Malaysia), seramai 1,036 pelajar telah berjaya dibawa keluar dari Kaherah oleh pesawat milik Penerbangan Malaysia (MAS) Boeing 747 serta AirAsia.

Mereka kini ditempatkan di pusat transit Madinatul Hujaj di Jeddah.

Lebih ramai pelajar tiba menerusi satu lagi penerbangan MAS pada lewat malam semalam.

Menurut maklumat yang diterima, kesemua pelajar berada dalam keadaan yang baik.

Pada masa ini dianggarkan terdapat 14,000 pelajar Malaysia di Mesir yang berdaftar dengan Kedutaan Malaysia di sana.

Sejak seminggu lalu, berpuluh ribu rakyat keluar ke jalan-jalan raya di negara itu bagi mengadakan demonstrasi mendesak Presiden Hosni Mubarak yang telah memerintah Mesir selama 30 tahun, agar segera berundur.

Tunjuk perasaan berlaku di bandar-bandar besar termasuk di Kaherah, Dumyat, Suez, Tanta, Iskandariah dan Mansura.

Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab berkata operasi memindah keluar rakyat Malaysia terutamanya pelajar dari Mesir untuk ditempatkan di pusat transit di Jeddah dijangka berakhir Ahad (Isnin di Malaysia).

Pihaknya sedang berusaha membawa keluar kira-kira 9,000 pelajar yang secara sukarela mahu kembali ke tanah air.

MKN dan Wisma Putra akan berusaha menyelesaikan pemindahan pelajar menjelang tengah hari esok, katanya kepada pemberita Malaysia di Kaherah, semalam.

Bagaimanapun, katanya kelewatan mungkin berlaku jika pemindahan itu mengalami masalah birokrasi, cuaca buruk dan kebenaran berlepas yang lewat diberikan oleh pihak berkuasa lapangan terbang di mana pesawat Hercules C-130 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Malaysia Airlines (MAS) dan AirAsia beroperasi.

Mohamed Thajudeen berkata sekiranya pemindahan keluar pelajar-pelajar itu dalam tempoh empat hari sejak Khamis lepas berjaya dilakukan, ia merupakan satu kejayaan bagi sebuah negara seperti Malaysia dalam melindungi keselamatan rakyatnya biarpun di luar negara.

Beliau berkata kejayaan itu dijangka dapat dicapai dengan pesawat tambahan yang akan disediakan oleh AirAsia selain dua pesawat MAS dan tiga pesawat Hercules TUDM.

Ditanya mengapa kerajaan Malaysia tidak membawa pulang terus para pelajar dari Kaherah ke Malaysia, beliau berkata yang paling utama bagi kerajaan ialah untuk memastikan nyawa para pelajar Malaysia di sini selamat.

No comments:

Post a Comment