Sunday, February 6, 2011

Lebih 200 Pelajar Terengganu Tiba Di Jeddah

Portal rasmi Kerajaan Terengganu bagi Misi Membawa Pulang Pelajar Terengganu, http://mesir.terengganu.gov.my/ menyebut seramai 167 orang pelajar Terengganu telah selamat tiba di Jeddah dari Kaherah menaiki penerbangan AIR ASIA.

Tiada maklumat lanjut di portal berkenaan dan begitu juga di http://misipulang.blogspot.com yang sekadar memetik perkara yang sama.

Bagaimanapun, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata petang semalam, lebih 200 pelajar Terengganu yang sedang menuntut di Mesir sudah dipindahkan di Jeddah dan menunggu masa untuk diterbangkan ke tanah air.

Laporan portal negeri Terengganu, http://www.terengganu.gov.my melaporkan, mereka akan pulang ke tanah air bersama-sama pelajar dari negeri-negeri lain setelah urusan visa selesai.

Menurut Menteri Besar berdasarkan laporan yang diterima urusan membawa keluar pelajar Malaysia, termasuk dari Terengganu ke Jeddah berjalan lancar dan ia akan selesai dalam beberapa hari ini.

“Ibu bapa pelajar Terengganu yang menuntut di Mesir boleh berhubung terus dengan sekretariat bilik operasi yang ditubuhkan kerajaan di Jeddah bagi mendapatkan laporan terkini mengenai anak-anak mereka,” katanya kepada wartawan Unit Komunikasi di Shah Alam, semalam.

Beliau berharap ibu bapa bersabar dan pihak kerajaan sudah melakukan yang terbaik bagi membawa segera pelajar yang berada di negara yang bergolak itu itu pulang ke tanah air.

No comments:

Post a Comment