Monday, February 7, 2011

Maidam Buka Bilik Gerakan Bantu Pelajar Di Mesir

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu semalam telah menubuhkan bilik gerakan dan bantuan operasi membawa pulang pelajar atau rakyat Terengganu di Mesir.

Ketua Pegawai Eksekutif Maidam Wan Harujan Sulaiman berkata bilik gerakan itu terletak di Tingkat 1, Pejabat Maidam, Kompleks Seri Iman, Jalan Sultan Mohamad, Kuala Terengganu.

“Bilik gerakan ini boleh dihubungi melalui telefon 09-6303080 dan 09-6303030 atau email info@maidam.gov.my,” katanya semalam.

Wan Harunan berkata operasi bilik gerakan itu berfungsi sebagai sekretariat khas bagi membantu pelajar atau rakyat Terengganu yang terkandas akibat pergolakan di Mesir.

Ia sebagai sokongan kepada bilik gerakan negeri di Yayasan Terengganu yang akan berfungsi menyelaras maklumat dan bantuan kepada pelajar tajaan Maidam atau pelajar-pelajar lain serta rakyat Terengganu, katanya.

Katanya bantuan pengangkutan untuk membawa pulang pelajar Terengganu yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangasa Kuala Lumpur dari Mesir akan disediakan oleh Maidam dan Yayasan Terengganu selain wang saku.

Dalam pada itu, salah seorang daripada tiga pelajar Terengganu dalam bidang perubatan dari Universiti Mansurah yang selamat pulang ke tanah air Khamis lalu tidak dapat melupakan detik cemas ketika dalam perjalanan menuju Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah.

Mohamad Arifuddin Pi Remli, 24, dari Kampung Telaga Daing Seberang Takir di sini berkata beliau dan tujuh lagi rakan universitinya dari Selangor dan Kedah mengambil risiko untuk pergi ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah kerana banyak tentera berkawal di jalan raya.

“Kami bernazar akan berpuasa sekiranya selamat tiba di lapangan terbang itu dan Alhamdullah, kami tidak mengalami banyak masalah dan tiba di lapangan terbang dengan selamat,” katanya.

Beliau berkata pengalaman itu tidak mematahkan semangat dan cita-citanya untuk menjadi seorang doktor.

No comments:

Post a Comment