Monday, February 7, 2011
Peniaga Keropok Raih RM20,000 Sehari Sempena Cuti Tahun Baru Cina
Cuti Tahun Baru Cina yang bermula Khamis lepas memberi durian runtuh kepada peniaga-peniaga keropok keping dan keropok lekor di negeri ini.
Pengerusi Persatuan Keropok Losong Kuala Terengganu Abu Bakar Yusof berkata sepanjang cuti itu, peniaga berjaya meraih pendapatan sehingga RM20,000 sehari berbanding RM3,000 pada hari biasa.
"Itu bagi peniaga yang besar, manakala bagi peniaga kecil pula mereka menjual antara RM2,000 hingga RM3,000 sehari berbanding RM300 sahaja pada hari biasa," katanya semalam.
Abu Bakar berkata sejak Khamis lalu, orang ramai terutama pengunjung dari luar yang datang bercuti di negeri ini tidak putus-putus mengunjungi gerai-gerai keropok di Kampung Losong menyebabkan jalan di kawasan itu menjadi sesak dengan kenderaan.
Malah, pembeli juga terpaksa beratur panjang semata-mata untuk mendapatkan keropok bagi dijadikan buah tangan.
Sementara itu, seorang peminat keropok Maamor Junus, 54, dari Setiawan Perak berkata ini pertama kali beliau datang membeli keropok di Kampung Losong setelah mendapat tahu daripada rakannya keropok di kawasan itu amat popular.
Katanya beliau terpaksa berbaris dan menunggu lebih kurang satu jam sebelum dapat membeli keropok lekor untuk memenuhi pesanan adiknya.
No comments:
Post a Comment