Monday, February 21, 2011

Maidam Sasar Kutipan Zakat RM80 Juta, Lantik 12 Ejen

Wan Nazrudin Wan Yusof (dua dari kanan) menyerahkan zakat perniagaan sebanyak RM20,000 kepada Wan Harujan Sulaiman sambil diperhatikan Norlina Ros Hashim di pejabat MAIDAM Kuala Terengganu, semalam.

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) menyasarkan kutipan zakat tahun ini sebanyak RM80 juta ekoran keadaan ekonomi yang semakin baik.

Ketua Pegawai Eksekutif/Setiausaha Maidam Wan Harujan Sulaiman berkata zakat perniagaan dijangka memberi sumbangan besar kepada peningkatan kutipan di negeri itu pada tahun ini.

“Alhamdulillah, keadaan ekonomi kita semakin baik, mungkin perniagaan akan meningkat,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan zakat AmIslamicBank sebanyak RM20,000 kepada Maidam, semalam.

Sehubungan itu, Wan Harujan berkata Maidam melantik 12 ejen di seluruh negeri itu untuk mengutip zakat yang terdiri daripada bank, koperasi dan pihak swasta bagi memudahkan orang ramai membayar zakat serta menguruskan kutipan.

Bagaimanapun, katanya, Maidam masih melantik amil untuk mengutip zakat secara tradisi.

Beliau berkata setakat ini, Maidam berjaya mengutip zakat sebanyak RM7.6 juta berbanding RM6.5 juta bagi tempoh yang sama tahun lepas.

No comments:

Post a Comment