Monday, February 21, 2011

YPM Perluas Program Motivasi Keibubapaan

Peranan ibu bapa dalam mempersiapkan anak-anak untuk melahirkan modal insan cemerlang semakin mencabar dewasa ini biarpun di mana mereka berada.

Sehubungan itu juga, Yayasan Pelajaran Mara (YPM) dengan kerjasama Jabatan Pelajaran negeri (JPN) dan Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan) turut membantu membimbing mereka melalui program motivasi keibubapaan.

Ini termasuk program terbaru yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Ibrahim Fikri, dekat sini semalam dengan kehadiran kira-kira 400 ibu bapa dan pelajar.

Berucap merasmikan penutupan program itu, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd. Nasir Ibrahim Fikri berkata, jika dahulu keluarga besar mampu mewujudkan sistem sokongan yang berkesan namun kini peranan keluarga lebih menjurus kepada keluarga asas.

Menurutnya, dalam keluarga asas pula, sering kedua-dua suami isteri bekerja di luar rumah.

"Mereka kerap menghadapi masalah penjagaan anak dan cabaran bagi mengimbangi tekanan di tempat kerja serta memberi perhatian kepada keluarga.

"Keadaan ini boleh membawa kepada kerapuhan institusi keluarga dan pengabaian tanggungjawab ibu-bapa terhadap anak sekali gus menyumbang kepada peningkatan jumlah kes juvenil melibatkan di negara ini," katanya.

Mohd. Nasir berkata, fenomena seumpama ini membimbangkan kerana negara bersandarkan kepada kelompok remaja yang merupakan pewaris kepada kemakmuran dan kepimpinan negara pada masa yang akan datang.

Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan penganjuran seminar keibubapaan demi memberi kesan positif terhadap pembangunan institusi keluarga dengan memperoleh khidmat pakar mengenai institusi kekeluargaan ini.

Tambahnya, beliau difahamkan bahawa seminar ini bertujuan menyampaikan maklumat dan mesej yang berguna secara lebih bersistematik dan berkesan terutamanya dalam aspek keibubapaan.

"Oleh itu, adalah wajar program seumpama ini diberi sokongan dan dokongan oleh masyarakat berdasarkan kesan positif serta kesinambungannya melalui pendekatan program yang berterusan," katanya.

Pada majlis sama, Mohd. Nasir turut mengumumkan sumbangan RM5,000 daripada Pejabat Ahli Parlimen Kuala Nerus bagi tujuan pembangunan pendidikan dan penambahbaikan prasarana sekolah itu.

Pada program itu, Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Kamaruddin Omar dan Penceramah JPN, Ashaari Khatib Hassan telah menyampaikan ceramahnya masing-masing yang bertajuk 'Peranan Ibu bapa Dalam Membina Modal Insan' dan 'Ibu bapa Pewarna Masa Depan Negara'.

No comments:

Post a Comment