Saturday, February 12, 2011

MAIDAM Sedia Biayai Bantuan Nafkah Kes Tuntutan Mahkamah Syariah

Wan Harujan Sulaiman (kiri) menerima cek zakat perniagaan daripada Bernas disampaikan oleh Mohamed Faroque Mohamed Fathillah di pejabat MAIDAM, Kuala Terengganu, kelmarin.

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) meluluskan peruntukan RM300,000 bagi membiayai bantuan nafkah kepada isteri dan anak-anak yang terlibat dengan kes tuntutan di Mahkamah Syariah.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Wan Harujan Sulaiman berkata, peruntukan itu disalurkan kepada Akaun Amanah Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) yang dikendalikan oleh Jabatan Kehakiman Mahkamah Syariah Terengganu.

Menurut beliau, penubuhan BSK diputuskan dalam mesyuarat Ketua-Ketua Hakim Syarie seluruh negara pada Mac tahun lalu dan ia diwujudkan di setiap negeri bagi membantu isteri dan anak-anak yang terlibat dengan kes tuntutan di Mahkamah Syariah.

Katanya, melalui keputusan mesyuarat itu juga, kerajaan Persekutuan akan menambah dengan nisbah yang sama kepada akaun amanah berkenaan.

“Sumbangan sebanyak RM300,000 daripada MAIDAM ini adalah kedua tertinggi selepas Wilayah Persekutuan dan ia adalah hasil peruntukan wang zakat melalui agihan Asnaf Al-Gharimin,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima zakat perniagaan sebanyak RM239,318 daripada Padi Beras Nasional Berhad (Bernas) yang disampaikan oleh Pengurus Kanan Bernas, Mohamed Faroque Mohamed Fathillah di pejabat MAIDAM di Kuala Terengganu semalam.

Menurut Wan Harujan, MAIDAM memberi sumbangan agak tinggi kerana BSK akan membiayai nafkah isteri atau anak-anak yang terlibat dalam perbicaraan di Mahkamah Syariah terutama tuntutan nafkah atau penceraian sementara menunggu kes selesai atau diputuskan oleh mahkamah.

Katanya, konsep pelaksanaan BSK di bawah kawalan Jabatan Kehakiman Mahkamah Syariah akan menguat kuasa perintah mahkamah berkaitan nafkah kanak-kanak termasuk di bawah tanggungan seseorang mengikut undang-undang keluarga Islam.

Beliau menambah, penggunaan wang dalam tabung BSK oleh mahkamah adalah sebagai pendahuluan sehingga penyelesaian tuntutan nafkah dan pelaksanaan serta penguatkuasaan perintah kepada suami atau bekas suami membayar balik pembiayaan yang dibuat oleh BSK.

Ini kerana katanya, kebiasaan kes kekeluargaan memakan masa agak lama sehingga memberi kesan buruk termasuk penganiayaan terhadap ibu dan anak-anak kerana kegagalan pembayaran nafkah oleh suami atau bekas suami.

“Sedangkan mereka memerlukan kewangan bagi membiayai kehidupan serta persekolahan anak-anak sehingga keputusan dibuat,” ujar beliau.

No comments:

Post a Comment