Program Juara Rakyat bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir akan dijadikan program bulanan untuk memberi peluang kepada masyarakat setempat mendapatkan maklumat mengenai agenda kerajaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan itu, Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, program itu dijangka ditetapkan pada setiap Khamis minggu pertama atau kedua pada setiap bulan.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri memberitahu, untuk program bulan depan, ia dijangka diadakan pada 10 Mac ini bertempat di Dataran Seberang Takir Kuala Terengganu.
Menurutnya, antara acara yang bakal disediakan sempena program Juara Rakyat itu adalah pameran, hari bertemu pelanggan dan sebagainya yang bakal disertai pelbagai agensi kerajaan.
“Usaha ini bagi membolehkan kerajaan membantu masyarakat setempat mendapatkan maklumat tepat mengenai pelbagai bidang termasuk kemudahan kesihatan dan sebagainya.
“Antara agensi kerajaan yang akan kita jemput menjayakan program ini nanti adalah Jabatan Perikanan, LKIM (Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia), Jabatan Kesihatan dan lain-lain,” katanya semalam.
Ahmad Razif memberitahu, pihaknya juga akan mengundang pakar-pakar perubatan dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian, Kelantan untuk memberi perkhidmatan perubatan kepada masyarakat setempat.
No comments:
Post a Comment