Friday, February 4, 2011

MB Nasihat Penuntut Anak Terengganu Hubungi Bilik Operasi


Suasana yang tidak terkawal di Kaherah menyebabkan kerajaan Terengganu berusaha bersungguh-sungguh menyelamatkan pelajar anak Terengganu.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said menasihati penuntut-penuntut anak Terengganu di Mesir menghubungi sekretariat bilik operasi yang ditubuhkan kerajaan Malaysia untuk urusan membawa pulang.

Katanya, semua penuntut berkenaan yang berada di Mesir dilaporkan dalam keadaan selamat kerana sejak awal lagi mereka diarahkan supaya berada di rumah masing-masing atas faktor keselamatan.

Sementara itu Yayasan Terengganu (YT) juga dalam proses terakhir untuk membuka bilik operasinya di Kuala Terengganu bagi membantu ibu bapa serta keluarga pelajar negeri ini di Mesir mendapatkan maklumat mengenai keadaan mereka di sana.

Ketua Penolong Pengarah (Tajaan) YT, Mohd. Razali Mahmud berkata, keluarga pelajar boleh menghubungi talian 09-6224559 atau 09-6310164 bagi mendapatkan perkembangan selanjutnya.

Menurutnya, seorang ketua pelajar akan dilantik di setiap asrama pelajar Terengganu di Jeddah untuk menyalurkan maklumat terbaru mengenai situasi di sana kepada pihak sekretariat sebelum dimaklumkan kepada bilik operasi di YT.

"Bilik operasi yang kita buka secepat mungkin ini akan kita selaraskan. Seorang ketua pelajar dilantik di asrama di Mesir dan Jeddah untuk hantar maklumat kepada sekretariat di sana. Selepas itu, sekretariat kerajaan Malaysia di sana menyalurkan maklumat mengenai perkembangan pelajar kepada bilik operasi YT di sini untuk pengetahuan ibu bapa," katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Mohd. Razali berkata, pada masa ini, terdapat kira-kira 700 pelajar Terengganu yang menuntut di Mesir iaitu di Universiti Iskandariah, Universiti Mansurah, Universiti Tanta dan Universiti Al-Azhar.

Daripada jumlah itu, 247 pelajar di bawah tajaan YT, manakala selebihnya ditaja pihak lain termasuk swasta dan persendirian.

Kedudukan di Kaherah tidak terkawal lagi apabila berlakunya pertembungan antara kumpulan penunjuk perasaan yang menyokong Presiden Hosni Mubarak dan kumpulan anti kerajaan di Dataran Tahrir awal pagi semalam.

Sekurang-kurangnya lima terkorban apabila penyokong Hosni Mubarak melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan anti kerajaan yang berkumpul di Dataran Tahrir, di Kaherah.

Dilaporkan ratusan penunjuk perasaan anti kerajaan mengalami kecederaan dalam pertembungan dengan kumpulan pro kerajaan sedang menunggu giliran untuk menerima rawatan kecemasan di Dataran Tahrir.

Dalam pertembungan semalam, tembakan senjata api berlarutan sehingga lebih daripada satu jam di sekitar kawasan demonstrasi kerana tidak berpuas hati dengan pengumuman Mubarak yang hanya akan berundur pada September depan.

Menteri Kesihatan Mesir, Ahmad Samih Farid memberitahu televisyen kerajaan bahawa lima orang penunjuk perasaan disahkan terbunuh manakala 836 yang lain mengalami kecederaan.

Katanya kebanyakan korban adalah akibat daripada membaling batu dan serangan menggunakan besi dan kayu.

Ahmad Said berkata akibat kedudukan yang semakin berbahaya di Mesir, bagi tujuan menyelamat, kerajaan negeri Terengganu semalam menghantar tiga orang pegawai ke Jeddah, Arab Saudi untuk menguruskan kepulangan anak-anak Terengganu yang menuntut di Mesir berikutan pergolakan di negara itu.

Menteri Besar berkata mereka diketuai Pegawai Pelajar Terengganu di Mesir Ahmad Kamal Abdullah dan dibantu pegawai dari Yayasan Terengganu dan pegawai dari Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu (SUK).

"Kita harap ibu bapa jangan bimbang dan sama-samalah kita berdoa mudah-mudahan mereka semua selamat," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis rumah terbuka sempena Tahun Baru Cina, di Kuala Terengganu, semalam.

Ahmad Said berkata kerajaan negeri akan menyiapkan bilik operasi khusus untuk memudahkan pegawai-pegawai itu menguruskan kepulangan penuntut-penuntut berkenaan.

Katanya penuntut-penuntut itu akan dibawa balik dengan kapal terbang dan juga kapal laut dan mungkin ramai lagi penuntut-penuntut anak Terengganu di sana yang tidak berdaftar.

Sementara itu, 70 daripada pelajar Negeri Sembilan yang menuntut di Kaherah selamat menaiki penerbangan pertama membawa keluar rakyat Malaysia dari negara itu pada pukul 1 tengah hari ini (waktu Malaysia), kata Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Mereka bagaimanapun akan diturunkan di Jeddah, Arab Saudi untuk mendapatkan perlindungan sementara di negara itu, katanya.

"Yang lain akan dibawa keluar mulai esok. Pelajar yang menuntut di Mansoura, Ziqgaziq, Tonta dan Iskandariah akan dibawa dengan kapal melalui pelabuhan Iskandariah," katanya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Bernama.

Beliau berkata, kesemua pelajar Negeri Sembilan berada dalam keadaan sihat dan selamat.

Pelajar-pelajar itu dibawa dengan pesawat C-130 Hercules Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang melakukan penerbangan 12 kali sehari dari Jeddah ke Kaherah.

Pada masa ini terdapat lebih kurang 250 pelajar Negeri Sembilan menuntut di Mesir dan sebahagian daripada mereka berlindung di Rumah Negeri Sembilan yang terletak di pusat bandar Kaherah.

Sementara itu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata kumpulan pertama pelajar Melaka seramai 60 orang dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur antara jam 4.30 dan 5.30 pagi esok.

"Selebihnya akan dipindahkan dari Kaherah ke Jeddah dulu, kemudian baru dibawa pulang ke Malaysia, kalau begini, cepat sikit kita boleh bawa lebih banyak pelajar keluar dari Kaherah dalam masa satu hari," katanya.

Beliau menasihati ibu bapa pelajar supaya tidak bimbang dan kerajaan negeri telah menubuhkan sebuah pusat informasi di bangunan Yayasan Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh bagi membolehkan ibu bapa mendapat maklumat terkini mengenai anak-anak mereka.

Kira-kira 200 pelajar Melaka menuntut di Mesir dengan sebahagian besar daripada mereka mendapat pinjaman dari Tabung Amanah Pendidikan Melaka (Tapem).

No comments:

Post a Comment