Friday, February 4, 2011

Kumpulan pertama pelajar Malaysia berlepas ke Jeddah

Seramai 345 pelajar dari kumpulan pertama pelajar Malaysia di Mesir berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah ke Jeddah, Arab Saudi, kira-kira jam 3.30 petang semalam waktu tempatan dengan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS).

Seramai 200 pelajar yang lain pula dijadualkan berlepas ke Jeddah dengan pesawat Air Asia kemudian.

Semalam, Timbalan Menteri Luar A. Kohilan Pillay, berkata seramai 645 pelajar Malaysia di Mesir dikatakan akan dipindahkan ke Jeddah dengan pesawat AirAsia dan Malaysia Airlines (MAS) hari ini.

"Bagi kumpulan kedua, sebanyak 300 pelajar akan dipindahkan menggunakan pesawat AirAsia...kami akan menghantar mereka ke asrama Tabung Haji di Jeddah," katanya kepada Bernama di Jeddah.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji Datuk Ismee Ismail berkata seramai 35 kakitangan Tabung Haji kini ditugaskan membantu proses pemindahan pelajar Malaysia di lokasi berkenaan.

Beliau berkata tujuh daripada mereka adalah petugas Tabung Haji di Kuala Lumpur yang dihantar khas bagi membantu 28 kakitangan badan berkenaan di Jeddah.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Bhd Datuk Kamarudin Meranun pula berkata pihaknya sedang menunggu kebenaran untuk mendaratkan pesawat syarikat itu di Lapangan Terbang Kaherah sebelum berlepas ke Jeddah.

Beliau berkata ia perlu dilakukan sebelum menentukan jumlah sebenar pesawat yang akan digunakan untuk membantu kerajaan memindahkan pelajar dari Mesir ke Jeddah.

"Sekarang ini kita dah hantar satu penerbangan, kita tengah menunggu kelulusan terakhir daripada mereka," katanya.

Di ABU DHABI, sehingga kini, pesawat C130 Hercules milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) belum dibenarkan kerajaan Arab Saudi memasuki Jeddah.

Pesawat itu yang berlepas dari Pangkalan TUDM Subang pada 9.30 malam, mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Abu Dhabi pukul 12 tengah hari waktu Malaysia.

Ia membawa makanan dan mempunyai misi menyelamat dan membawa keluar rakyat Malaysia dari Kaherah ke Jeddah.

No comments:

Post a Comment