Sunday, February 6, 2011

MBKT Tambah Parkir, Lebar Jalan Elak Kesesakan

Orang ramai tertarik dengan kecanggihan parkir automatik bertingkat jenis berputar di Kuala Terengganu, kelmarin.

Masalah kekurangan tempat letak kenderaan di Bandar Raya Kuala Terengganu dijangka dapat diatasi apabila sebanyak 1,000 petak akan disediakan di sekitar bandar raya itu tahun ini.

Antara kawasan yang terlibat adalah di Kampung Cina (300 petak), Pulau Warisan (500 petak), manakala selebihnya di Jalan Batas Baru yang menggunakan sistem letak kenderaan automatik bertingkat dan telah mula dibuka kepada orang ramai dua hari lalu.

Datuk Bandar Kuala Terengganu, Datuk Adzlan Mohd. Dagang berkata, walaupun jumlah tersebut tidak mencukupi dengan pertambahan kenderaan di bandar raya itu sepanjang tahun, ia dijangka mampu mengurangkan masalah kekurangan tempat letak kenderaan itu.

Katanya, mengikut bancian penduduk Jabatan Perangkaan Negeri Terengganu pada 2010, sebanyak 13 peratus pertambahan penduduk di negeri ini pada tahun lalu, bersamaan 336,991 orang berbanding pada 2000 sebanyak 298,304 orang.

"Melihat kepada perangkaan tersebut, memang kita tidak mampu menyediakan kemudahan letak kenderaan walaupun separuh daripada jumlah berkenaan ekoran kawasan yang terhad, namun pertambahan petak letak kenderaan itu mampu mengurangkan kesesakan.

"Selain itu, jumlah tempat letak kenderaan sedia ada sebanyak 4,456 petak di Pasar Kedai Payang, Pasar Chabang Tiga, Taman Shahbandar dan Bazar Warisan serta tempat letak kenderaan swasta di Pulau Warisan, Paya Keladi, TD Square (dalam pembinaan) dan Paya Bunga Square sebanyak 2,089 petak juga dapat mengatasi masalah ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis perasmian tempat letak kenderaan automatik bertingkat di Jalan Batas Baru, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Beliau yakin masalah tempat letak kenderaan di bandar raya itu akan selesai jika tapak Stadium Sultan Ismail Nasirudin Shah dijadikan kawasan letak kenderaan selain pembinaan Kompleks Paya Bunga siap dibina.

Ia mampu menyediakan kira-kira 200 lot untuk tempat letak kenderaan apabila ia siap kelak.

Selain itu, Adzlan juga berharap para pengusaha hotel dapat membina lebih banyak ruang letak kenderaan bagi membolehkan kemudahan itu dibuka kepada orang awam.

Sementara itu, beliau berharap jalan-jalan baru dapat dibina seperti di susur keluar dari Mydin ke simpang Tok Ku, Jalan Ladang, Jalan Petani, Jalan Sultan Zainal Abidin, jalan lingkaran Kuala Terengganu supaya kesesakan lalu lintas dapat dikurangkan.

Tambahnya, untuk jangka masa pendek ini, bagi mengatasi masalah kesesakan jalan raya di bandar berkenaan, usaha-usaha pelebaran jalan serta pengwujudan jalan-jalan sehala dilaksanakan.

Katanya, untuk tujuan itu, Jalan Sultan Ismail yang sebelum ini merupakan tempat letak kenderaan telah dijadikan jalan empat lorong dan sebagai alternatif petak-petak letak kenderaan tanpa meter telah disediakan di Jalan Pusara bagi kemudahan orang ramai.

"Segala perubahan tersebut dilaksanakan bertujuan mengatasi masalah kesesakan lalu lintas dan memberi keselesaan kepada orang ramai pada masa depan," jelasnya.

Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment