Tuesday, February 15, 2011

Misi Bawa Pulang Pelajar - Pemimpin PAS Terima Kasih Kepada Kerajaan

Pelajar Terengganu yang tiba di Kuala Terengganu malam semalam. Gambar-gambar oleh Zulkifli Putra.

“Terima kasih kerajaan kerana membawa pulang pelajar Malaysia dari negara Mesir yang sedang bergolak itu, termasuk anak saya.

“Saya sangat gembira bila anak saya dan rakan-rakannya selamat pulang ke tanah air,” kata Zakaria Dagang, bapa kepada seorang pelajar Terengganu di Mesir yang tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di Kuala Terengganu, semalam.

Zakaria yang juga Timbalan Ketua Penerangan PAS Terengganu berkata usaha bersungguh-sungguh kerajaan menerusi Ops Piramid dilihat satu langkah yang baik bagi menyelamatkan pelajar dari negara yang mengalami pergolakan politik itu.

Anak beliau, Abdullah Haris, 23, pelajar tahun tiga jurusan Syariah di Universiti Al-Azhar adalah antara 140 pelajar Terengganu yang tiba di LTSM menerusi penerbangan terus dari Jeddah.

Seramai 92 pelajar lagi dijangka tiba di lapangan terbang itu malam ini, yang merupakan kumpulan pelajar terakhir sampai ke tanah air.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri Khazan Che Mat ketika ditemui di lapangan terbang itu berkata seramai 600 pelajar Terengganu yang belajar di Mesir telah berjaya dikeluarkan dari negara bergolak itu.

Bagaimanapun katanya, ada dua keluarga dan 13 pelajar dari negeri itu masih berada di Mesir setelah mereka membuat keputusan untuk kekal di sana.

“Kita harapkan mereka selamat di sana dan kepada mereka juga kita tinggalkan amanah untuk menjaga bangunan dan aset kerajaan,” katanya.

Khazan berkata beliau difahamkan keadaan di negara itu semakin pulih dan diharap pergolakan yang berlaku itu pulih dengan cepat untuk memastikan pelajar dapat menyambung semula pelajaran mereka.

Mengenai perbelanjaan pelajar untuk kembali semula ke Mesir, Khazan berkata ia masih lagi dibincangkan kerajaan negeri manakala bagi pelajar yang ditaja, itu adalah di bawah penajaan masing-masing.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) Wan Harujan Sulaiman berkata Maidam mengeluarkan peruntukan kira-kira RM65,000 bagi menguruskan perbelanjaan pelajar yang pulang ke Terengganu.

“Setiap pelajar yang pulang dari Jeddah diberikan RM100 untuk perbelanjaan makan minum mereka sebaik tiba di Lapangan Terbang Kuala Lumpur kerana kita dapati ada pelajar yang kehabisan duit,” katanya.

Bernama

No comments:

Post a Comment