Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT) akan mengadakan Pameran 1ASEAN 1Jalinan mulai 15 Mac hingga 30 Jun depan dengan mempamerkan pelbagai keindahan, keunikan tekstil hasil karyawan masyarakat Melayu.
Penolong Kurator, Perhubungan dan Pemasaran LMNT, Mohd Saberi Muda berkata pelbagai hasil tekstil sedikit masa lalu yang terserlah melalui tenunan songket, sutera dan batik diwarisi sejak zaman berzaman, akan dipamerkan di muzium itu.
"Melalui teknik penghasilan yang berbagai seperti tenunan, ikat celup, lukis dan terap yang bersesuaian dengan peredaran zaman, ia mengandungi pelbagai maksud dan falsafah yang tersirat di dalam penghasilannya.
"Nilai estetika pada tekstil tempatan sememangnya diakui oleh negara-negara jiran yang turut sama berkongsi pengalaman dan proses penciptaan yang mempunyai pertalian secara langsung," katanya dalam satu kenyataan di Kuala Terengganu, semalam.
Pameran 1ASEAN 1Jalinan merangkumi gabungan koleksi tekstil tempatan dan negara anggota ASEAN lain dipamerkan di Galeri Tekstil & Foyer muzim itu.
Mohd Saberi berkata tujuan pameran itu diadakan antara lain memperlihatkan keunikan tekstil warisan tempatan dan negara-negara Asean kepada masyarakat dan mendidik generasi muda agar menghargai warisan tempatan dan luar.
Katanya ia turut memberi peluang kepada generasi sekarang menghayati dan memahami pemikiran masyarakat dahulu.
Mohd Saberi berkata beberapa pertunjukkan sampingan turut diadakan seperti demonstrasi tenun songket, ikat pelangi, ikat limar dan celuk benang, bergerus serta pertunjukan fesyen.
No comments:
Post a Comment