Tuesday, February 15, 2011

Poligami Antara Penyumbang Kanser Pangkal Rahim

Amalan berpoligami adalah antara penyumbang kepada kanser pangkal rahim di kalangan wanita berikutan sikap segelintir suami mengabaikan kebersihan diri.

Pakar Perubatan Keluarga Pejabat Kesihatan Daerah Marang, Dr Suhazeli Abdullah, berkata ada isteri-isteri yang mengalami penyakit pembunuh senyap itu, menderita setelah dijangkiti virus daripada lelaki yang berpoligami atau lelaki yang melakukan hubungan seks rambang.

"Kebersihan itu sangat penting bagi lelaki yang berpoligami bagi mencegah kanser pangkal rahim terhadap isteri mereka," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah "Penyakit Alaf Baru Pembunuh Senyap" anjuran Universiti Malaysia Terengganu (UMT) disertai 200 pelajar dan kakitangan UMT di Marang, semalam.

Dr Suhazeli berkata, sebagai langkah awal bagi mencegah penyakit kanser pangkal rahim, Kementerian Kesihatan menggalakkan semua pelajar perempuan tingkatan satu dan dua mengambil suntikan Human Papillomavirus (HPV).

Dr Suhazeli berkata, pelajar-pelajar itu perlu mengambil suntikan sebanyak tiga dos untuk sepanjang hayat bagi mencegah penyakit kanser pangkal rahim.

"Ada juga ibubapa tidak membenarkan anak mereka disuntik dengan HPV kerana berpendapat anak mereka bukan berperangai liar.

"Pengambilan suntikan HPV adalah digalakkan sebagai langkah pencegahan kerana kita tidak tahu lebih dekat mengenai gaya hidup anak kita. Bagaimanapun pengambilan HPV bukanlah lesen untuk mereka lebih bebas bergaul," katanya.

Beliau berkata, vaksin itu juga boleh didapati di klinik-klinik kesihatan dan wanita yang inginkan vaksin HPV boleh mendapatkannya di klinik-klinik berkenaan sebagai langkah pencegahan.

No comments:

Post a Comment