Monday, February 21, 2011

Muzium Terengganu Teruskan Usaha Carigali Artifak Di Gua Bewah

Muzium negeri Terengganu akan meneruskan usaha mencari gali bahan-bahan sejarah di Gua Bewah, Tasik Kenyir tahun ini.

Pegawai Perhubungan dan Pemasaran Muzium negeri Terengganu Mohd Saberi Muda berkata ia adalah kesenimbungan usaha yang telah dijalankan sejak tahun 2009.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said mengganggap gua itu antara daya penarik pelancong ke Tasik Kenyir yang akan dibangun secara besar-besaran tidak lama lagi.

"Kita yakin Gua Bewah banyak menyimpan bahan-bahan sejarah berdasarkan penemuan dalam carigali yang lalu," katanya Kuala Terengganu, semalam.

Beliau berkata dalam pencarian pada tahun 2009, muzium itu berjaya menemui pelbagai bahan sejarah di gua itu termasuk satu rangka manusia yang dipercayai berusia 11,000 tahun.

Rangka manusia itu masih berada di gua berkenaan manakala barang-barang lain yang dijumpai, antaranya tulang, alat-alat batu, siput sungai dan arang, katanya.

Beliau berkata Gua Bewah adalah gua batu kapur yang dipercayai penempatan terawal manusia pra sejarah.

Mohd Saberi berkata sebanyak 613 jenis barangan telah ditemui daripada kerja-kerja cari gali di gua itu sejak tahun 2009 sehingga tahun lepas.

Beliau berkata sehingga kini muzium Terengganu mempunyai 10,694 bahan-bahan seperti alat-alat perusahaan, senjata, alat perang, manuskrip, kitab-kitab, alat bunyian dan duit syiling.

Tahun lepas, seramai 202,593 pengunjung, termasuk pelancong asing mengunjungi muzium itu, katanya.

No comments:

Post a Comment