Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) mengharapkan jumlah lebih besar boleh dicapai untuk melihat kanak-kanak seawal usia tiga dan empat tahun yang berada di taska kelolaannya mampu hafaz Muqadam tahun ini.
“Untuk capai sasaran berkenaan, setiap permulaan aktiviti mereka dimulakan dengan sebutan ayat-ayat suci al-Quran agar setiap patah perkataan itu melekat di hati mereka,” kata Pengarah YPK, Mohd Safaruddin Mustaffa.
Tahun lalu katanya, 735 kanak-kanak berusia tiga dan empat tahun boleh hafaz 23 surah lazim dan tahun ini jumlah itu akan lebih meningkat lagi.
Mulai tahun ini katanya, Taska Keluarga dan Taska Permata digabung menjadi Taska Permata Keluarga (TPK) dan setiap kanak-kanak yang boleh bercakap walaupun tidak begitu lancar akan diasuh menyebut kalimah Allah serta doa pendek setiap memulakan sesuatu aktiviti.
“Terdapat 2,932 kanak-kanak berusia dua bulan hingga empat tahun di 65 buah TPK seluruh negeri yang menampung antara 60 hingga 110 bayi dan kanak-kanak disetiap TPK mengikut saiz bangunan,” katanya.
Selain itu katanya, setiap penjaga dan guru yang diambil bertugas dengan YPK disyaratkan dapat membaca 23 surah lazim dengan baik dan lancar dan jabatan ada mengambil khidmat guru al-Quran untuk memantau penjaga dan guru YPK terutama untuk perbetulkan bacaan mereka.
“Kanak-kanak mudah ingat dan apa yang dia dengar itulah yang akan disebutnya, jadi kita amat jaga perkara ini agar mereka membesar seiring dengan perkembangan minda yang cintakan al-Quran,” katanya.
Mohd Safaruddin berkata, pihaknya sedaya upaya memberi perkhidmatan terbaik dan masyarakat mengetahui taska merupakan ‘ibu kedua’ bagi keluarga yang bekerja dan amanah ini digalas bersama membentuk keperibadian generasi kecil dengan baik dan sempurna.
Unit Komunikasi Negeri
No comments:
Post a Comment