Monday, February 28, 2011

Operasi Gempur Pelajar Ponteng Bersama Polis

Razali Daud (kanan) menyampaikan sijil kepada Pengerusi PIBG SMK Seberang Marang, Nik Din Nik Wan Ku pada majlis Memperkasakan Permuafakatan Melestarikan Pendidikan Terbilang Negeri Anjung Ilmu di Marang, Terengganu, kelmarin.

Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) akan bekerjasama dengan polis untuk melancarkan 'gerak gempur' ke atas pelajar yang ponteng sekolah di negeri ini dalam waktu terdekat ini.

'Operasi' itu turut disertai beberapa agensi penguat kuasa lain serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah masing-masing.

Pengarah Pelajaran Terengganu, Razali Daud ketika mengesahkan perkara itu berkata, pihaknya bercadang melancarkan gerak gempur dalam minggu ini bagi membendung gejala tersebut di kalangan pelajar.

Beliau menyifatkan gejala tersebut semakin serius di Terengganu dan ia perlu dikawal serta dicegah secara bersungguh-sungguh membabitkan semua pihak.

Sehubungan itu, katanya, pihak PIBG dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) digesa memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa dan JPNT untuk tindakan selanjutnya.

"Gejala ponteng di Terengganu adalah serius dan ia perlu dibendung membabitkan semua pihak. Jadi, di mana saja 'sarang' atau kubu mereka termasuk kawasan semak semasa mereka ponteng, kita akan serbu," katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada majlis Memperkasakan Pemuafakatan Melestarikan Pendidikan Terbilang Negeri Anjung Ilmu Pengarah Pelajaran Bersama Warga Seberang Marang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seberang Marang semalam.

Turut hadir, ketua-ketua sektor JPNT, Pengetua SMK Seberang Marang, Dr. Ab. Rahman Mat, para guru serta ibu bapa pelajar.

Program tersebut kali pertama diadakan di negeri ini bagi membolehkan JPNT berkongsi maklumat dengan warga sekolah serta ibu bapa pelajar untuk sama-sama membangunkan pendidikan di negeri ini.

Razali memberitahu, usaha menangani gejala ponteng di kalangan pelajar sekolah penting kerana ia menimbulkan banyak masalah sosial dalam masyarakat.

"Gejala ponteng boleh menyebabkan pelajar terjerumus dalam kegiatan jenayah termasuk penyalahgunaan dadah dan sebagainya," katanya.

No comments:

Post a Comment