Monday, February 28, 2011

Punca Kemalangan Azizulhasni Awang Di Manchester Akan Disiasat

Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) akan menyiasat punca kemalangan yang menimpa jaguh trek negara, Mohd Azizulhasni Awang, ketika menyertai kejohanan Trek Berbasikal Siri Piala Dunia di Manchester.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata ini kerana ia membabitkan faktor keselamatan.

"Saya serah kepada pihak persatuan dan pihak UCI untuk membuat siasatan terhadap perkara ini kerana ia lebih kepada keselamatan bagi velodrom itu, sama ada terdapat unsur kecuaian dan kelemahan, atau bentuk kemalangan yang boleh berlaku pada bila-bila masa," katanya kepada pemberita setelah melepaskan 30 peserta konvoi bermotosikal dan lawatan mesra di sekitar Kampung Ayer Molek, Kolam Taman Maju di Jasin, semalam.

Beliau mengulas insiden betis kiri Mohd Azizulhasni ditusuk serpihan kayu sepanjang 20 sentimeter di Manchester pada minggu lepas.

Bagaimanapun, pelumba trek berbasikal yang menjadi sandaran utama negara meraih pingat emas pertama Malaysia pada Sukan Olimpik di London tahun depan, berjaya menamatkan perlumbaan dan meraih pingat gangsa bagi terus mengungguli ranking pertama Siri Klasik Piala Dunia.

Menyentuh perkembangan terkini Mohd Azizulhasni, Ahmad Shabery berkata walaupun kecederaan yang dialami memerlukan masa untuk pulih, namun beliau boleh beraksi pada Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Apeldoorn, Belanda 23 Mac ini jika pakar memberi 'lampu hijau'.

"Tiada sebab untuk kita hendak menghalang orang yang begitu bersemangat sepertinya untuk terus bertarung," katanya.

Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengadakan lawatan rasmi ke Australia pada Mac ini dan beliau dijangka sempat menjenguk Mohd Azizulhasni di Melbourne, yang kini menjalani proses pemulihan akibat kecederaan itu.

"Saya percaya lawatan Najib akan menambahkan dan memberi suntikan baru ini, kerana ketika dalam kesakitan dan tidak sedarkan diri pada hari kemalangan, apa yang keluar dari mulutnya ialah beliau hendak jadi juara (Sukan) Olimpik (di London) dan beliau bimbang takut tidak dapat ke Olimpik.

"Beliau (Azizulhasni) tetap hendak jadi nombor 1 kerana atas nama 'Saya orang Malaysia' dan 'Saya mahu menaikkan nama Malaysia...inilah semangat Mohd Azizulhasni Awang," katanya.

No comments:

Post a Comment