Kenderaan melalui jalan Kampung Tok Adis, Kuala Ibai berisiko tinggi apabila laluan biasa ditutup untuk aktiviti pasar malam menyebabkan kerap berlaku kemalangan. Gambar kecil, kakitangan Hospital Sultanah Nur Zahirah memeriksa mayat Masri Mamat. 4 terkorban tempoh dua tahun di Jalan Kampung Tok Adis-Kampung Laut.
Bukan sekali kemalangan tetapi sudah beberapa kali!
Pasar Malam Kuala Ibai di Jalan Kampung Tok Adis-Kampung Laut di Kuala Terengganu sudah meraih reputasi sebagai pasar malam maut apabila sudah banyak pengguna menjadi korban kerana keliru dengan perubahan aliran trafik di kawasan itu setiap kali pasar malam beroperasi.
Justeru, orang ramai yang sudah tidak tahan melihat banyak kemalangan maut menyayat hati, termasuk terbaru minggu lalu membabitkan seorang lelaki baru 20 hari mendapat anak sulung, meminta supaya pasar malam di kawasan itu dipindahkan ke tapak lain.
Dalam tempoh dua tahun, pasar malam di situ sudah merekodkan empat kemalangan maut selain kemalangan yang membabitkan kecederaan. Dalam kejadian terbaru Rabu lalu, seorang jurukimpal terbunuh selepas motosikalnya bertembung dengan kereta.
Penduduk, Awang Ali, 39, dari Kampung Tok Adis, berkata orang ramai runsing dengan kesesakan trafik dan perangkap kemalangan kepada pengguna jalan raya.
Katanya, kemalangan sering berlaku terutama membabitkan orang luar yang datang dari kawasan Masjid Tengku Tengah Zaharah dan mengambil Jalan Kampung Tok Adis untuk ke Kampung Laut.
“Ketiadaan tanda jalan dikatakan menjadi punca menyebabkan ramai pengguna luar terus memandu di laluan bertentangan selepas kawasan pasar malam, sedangkan mereka sepatutnya masuk semula ke laluan kiri dan meneruskan perjalanan ke destinasi mereka.
"Sudah jelak kami lihat kejadian kemalangan di kawasan ini pada hari pasar malam beroperasi, malah kawasan ini sudah menjadi tidak ubah seperti perangkap maut kerana pengguna jalan raya yang terkeliru akan tersalah dan memandu di laluan bertentangan," katanya.
Daud Alias, 42, dari Kampung Laut, di sini, berkata setiap kali hari pasar malam keadaan lalu lintas menjadi tidak terkawal ditambah pula dengan ketiadaan papan tanda amaran bagi memudahkan pengguna jalan raya di kawasan itu.
"Setiap kali pasar malam beroperasi, mesti ada pengguna jalan raya yang tersasar memasuki laluan bertentang yang jelas membahayakan nyawa pengguna jalan raya sehingga ada yang terbabit dalam kemalangan maut," katanya.
Sementara itu, Setiausaha Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Samiun Salleh, berkata sudah banyak kali pihaknya mengadakan perbincangan dengan persatuan peniaga pasar malam di kawasan itu, namun sukar untuk mengalihkan lokasinya kerana tiada kawasan baru sesuai.
Katanya, pihaknya terpaksa menggunakan jalan terbabit sebagai tapak pasar malam kerana tiada tapak alternatif untuk berpindah.
Berita Harian
No comments:
Post a Comment