Friday, February 25, 2011

Polis Buru Dua Peragut Bermotosikal

Polis memburu dua lelaki bermotosikal yang meragut beg tangan seorang suri rumah yang sedang menunggang motosikal dari sebuah sekolah menghala ke rumahnya pada petang Selasa lalu.

Dalam kejadian jam 2.45 petang itu, mangsa kehilangan barangan kemas bernilai lebih RM3,000 ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Durian Burong, dekat sini, selepas menjemput anak perempuannya dari sekolah.

Difahamkan, apabila mangsa berusia 46 tahun dan anaknya tiba di Kampung Bukit Jambu, dekat sini, dia menyedari diekori sebuah motosikal yang ditunggang dua lelaki.

Tiba di kawasan sunyi, motosikal suspek bergerak laju dan pemuda yang membonceng motosikal berkenaan meragut beg tangan di pangkuan mangsa.

Suspek terus memecut meninggalkan mangsa yang tergamam dan dia terpaksa memberhentikan motosikalnya kerana terkejut.

Mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu pada petang berkenaan.

Dalam laporannya, mangsa mendakwa kehilangan seutas rantai emas, sebentuk cincin emas dan dokumen peribadi yang disimpan dalam beg berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan berkata kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana jenayah ragut.

Katanya, sabit kesalahan suspek boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

No comments:

Post a Comment