Tuesday, February 22, 2011

STPM –Terengganu Ulangi Kejayaan Terbaik di Malaysia

Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu, Encik Razali Daud ketika membuat sidang akhbar mengenai keputusan STPM 2010 di mana Terengganu masih mengekal negeri terbaik seluruh Malaysia.

Terengganu mengekalkan kedudukan sebagai negeri terbaik bagi keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2010 yang diumumkan di seluruh negara hari ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, berkata berdasarkan laporan awal yang diperolehi beliau, Terengganu berjaya mengekalkan kedudukan terbaik STPM bagi seluruh negara kali ketiga berturut-turut, pada tahun ini.

Beliau berkata, bagi peperiksaan STPM 2009 hanya lapan pelajar mendapat PNGK 4, tetapi pada tahun lalu 12 orang mendapat PNGK 4 dan 22 sekolah mendapat kelulusan 100peratus.

Pengarah Pelajaran Terengganu Razali Daud berkata semalam pencapaian calon STPM yang mendapat lima prinsipal meningkat kepada 8.70 peratus tahun lalu berbanding 8.44 peratus pada tahun 2009 iaitu meningkat sebanyak 0.26 peratus.

Seramai 12 pelajar muncul pelajar terbaik dengan memperoleh keputusan cemerlang dengan PNGK 4.0.

Beliau berkata peratus calon yang mendapat empat prinsipal telah meningkat kepada 44.06 peratus tahun lepas berbanding hanya 42.16 peratus pada tahun 2009 manakala lulus penuh pula menunjukkan peningkatan sebanyak 1.10 peratus kepada 97.09 peratus berbanding tahun sebelumnya iaitu 95.99 peratus.

Berikutan itu menurut Ahmad Said, kerajaan negeri akan menghantar 30 guru besar atau penolong kanan dari sekolah yang ada pelajar mengambil STPM ke luar negara, sebagai hadiah galakan,” katanya.

Beliau berkata, 50 guru besar dan penolong kanan dari sekolah yang mendapat keputusan terbaik dalam Ujian Pencapaian Sekolah rendah (UPSR) tahun lepas juga akan dihantar ke luar negara.

“Setakat ini kerajaan negeri memutuskan untuk menghantar 110 guru besar atau penolong kanan ke luar negara kerana kecemerlangan pelajaran,” ujar beliau.

Sebelum ini kerajaan negeri menghantar guru besar dan pengetua dari sekolah yang mencatat keputusan terbaik dalam peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan STPM bagi menghargai jasa-jasa mereka membantu meningkatkan kecemerlangan bidang pendidikan di Terengganu.

Menteri Besar berkata, jika Terengganu mengekalkan tempat pertama bagi keputusan SPM yang akan diumumkan dua hari lagi, 30 guru lagi akan dihantar ke luar negara, menjadikan jumlahnya 140 orang.

Sumber UKOM & Bernama

1 comment: