Friday, February 11, 2011

Siri Kedua Cabaran BSN SVC Tawar Hadiah RM150,000 Bermula Mac Ini

Hadiah RM150,000 ditawarkan pada siri kedua cabaran Inter Varsity Social Venture Challenge Bank Simpanan Nasional (BSN SVC), pertandingan yang memerlukan penuntut universiti mengemukakan cadangan program perniagaan yang mampu memberi manfaat kepada orang ramai.

Naib Presiden Kanan Perkhidmatan Korporat BSN Joannita Zaleha Yusof berkata hadiah wang tunai itu diperuntukkan kepada lapan pasukan terpilih ke peringkat akhir pertandingan yang akan bermula Mac ini.

Berikutan menerima sambutan menggalakkan pada pertandingan tahun lepas, tempoh pertandingan pada tahun ini dilanjutkan kepada selama enam bulan berbanding tiga bulan tahun lepas bertujuan menggalakkan lebih ramai penuntut menyertainya, katanya.

Penuntut perlu mengemukakan cadangan perniagaan, yang bukan sahaja berdaya saing daripada segi ekonomi tetapi juga bermanfaat kepada orang ramai, katanya pada sidang akhbar di sini pada Khamis.

Beliau berkata pada tahun lepas, BSN menerima 37 cadangan perniagaan dan mensasarkan menerima lebih 80 cadangan pada pertandingan kali ini.

Katanya BSN juga menaja dua calon daripada pasukan yang menang pada pertandingan tahun lepas untuk mengambil bahagian dalam Program Kepimpinan Belia di China dan Hong Kong dari 14 hingga 26 Februari 2011.

Calon berkenaan ialah Sitinurulzulhijah Kamarudin dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Hafreez Aizat Hasni dari Universiti Teknologi Petronas.

Sitinurulzulhijah, 21, penuntut tahun akhir Fakulti Sains dan Teknologi berkata beliau amat gembira terpilih menyertai program antarabangsa itu kerana terdapat lima calon disenarai pendek dan mereka terpaksa bersaing dalam sesi temuramah oleh BSN.

Dalam pertandingan BSN SVC tahun lepas, pasukannya mengemukakan cadangan perniagaan untuk meningkatkan pendapatan pengumpul "gula nira" di kampung-kampung dengan mempelbagaikan penggunaan produk itu dalam muffin, jem, jeli dan makanan lain.

Katanya pasukannya bukan sahaja memenangi RM25,000 daripada BSN, tetapi bank itu turut membantu mereka daripada segi pembiayaan untuk menjadikan projek mereka satu realiti.

Hafreez Aizat, 23, penuntut akhir jurusan Sistem Maklumat Perniagaan berharap untuk memperoleh pengalaman bernilai pada program itu.

Tahun lepas, pasukannya mencadangkan pengeluaran baja organik yang memenangi tempat kedua dalam BSN SVC.

No comments:

Post a Comment