Monday, February 7, 2011

Terengganu Bercadang Bawa Pensyarah Universiti Mesir Ke Sini

Menteri Besar menyampaikan e-Book kepada seorang pelajar sambil diperhatikan ADUN Alor Limbat, Alias Abdullah,, dua dari kiri). - Gambar UKOM

Kerajaan Terengganu bercadang membawa pensyarah universiti di Mesir ke Kuala Terengganu, bagi membolehkan anak negeri yang tertangguh pengajian kerana krisis di sana meneruskan pembelajaran seperti biasa.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata kerajaan negeri bimbang penutupan antara enam bulan sehingga setahun yang diumumkan kebanyakan universiti terbabit akan menjejaskan pengajian pelajar.

"Yang dibimbangkan tentang pelajar jurusan perubatan kita di sana, kerana kalau cuti begitu panjang, ia merugikan pelajar.

Oleh sebab itu kita mahu berunding kalau boleh dibawa pensyarah universiti berkenaan ke sini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan e-Book kepada murid sekolah bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Alor Limbat di Marang, semalam yang turut dihadiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri Ahmad Razif Abdul Rahman dan ADUN Alor Limbat, Alias Abdullah.


Ahmad berkata terdapat 247 pelajar tajaan Yayasan Terengganu dan 317 pelajar yang ditaja Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam) menuntut di beberapa universiti di Mesir, dan pengurusan untuk membawa mereka pulang dibuat secara berperingkat-peringkat.

Katanya sehingga semalam, seramai 78 pelajar tajaan Yayasan Terengganu dan 119 pelajar tajaan Maidam telahpun tiba di Terengganu.

"Dalam sehari hanya sembilan penerbangan sahaja boleh dilakukan yang mana setiap penerbangan melibatkan kira-kira 300 orang. Bagaimanapun jumlah rakyat Malaysia untuk dibawa pulang melebihi 12,000 orang," katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri juga menempatkan tiga pegawai di Jeddah yang diketuai Pegawai Pelajar Terengganu di Mesir, Ahmad Kamal Abdullah untuk menguruskan kepulangan mereka.

"Pegawai-pegawai ini akan berada di sana sehingga semua pelajar kita berjaya dibawa pulang ke tanah air dan saya harap ibu bapa tidak perlu bimbang kerana proses membawa pulang anak-anak mereka berjalan lancar," katanya.

Pada majlis semalam, seramai 772 murid Tahun Lima telah diberikan e-Book melibatkan lapan buah sekolah di DUN berkenaan.

Bernama

No comments:

Post a Comment