Seorang penyelia asrama Institut Latihan Perindustrian (ILP) Pedas, Negeri Sembilan ditemui mati tersangkut di pukat di Sungai Besut Kampung Tok Gong setelah 10 hari dilaporkan hilang dari rumah keluarganya di Besut, semalam.
Mayat Rohaizat Ismail, 30, ditemui oleh penduduk kampung kira-kira jam 12.15 tengah hari setelah terlihat objek terlekat pada pukat ikan yang dipasang di sungai di situ.
Mangsa yang masih bujang sebelum itu pulang bercuti sempena Tahun Baru Cina dan dilaporkan tidak pulang sejak keluar kira-kira jam 3 petang pada 29 Januari lepas.
Ibu mangsa Rozita Abdullah, 49, yang ditemui di rumah mayat Hospital Daerah Besut petang ini berkata anak sulungnya itu dilihat ke luar rumah pada hari kejadian dengan menaiki sebuah motosikal milik bapa saudaranya dan tidak kembali ke rumah selepas itu.
"Ketika dia keluar rumah, saya sekeluarga pergi kenduri di rumah saudara kami di Tumpat, Kelantan dan selepas mendapati dia tidak pulang, kami mengambil keputusan untuk membuat laporan di Balai Polis Kuala Besut pada petang Jumaat," katanya.
Menurutnya, mayat anaknya itu ditemui oleh penduduk kampung setelah menjumpai motosikal yang dinaikinya berada di tebing sungai, iaitu kira-kira 50 meter dari mayat mangsa ditemui.
Rozita memberitahu anaknya itu tidak pandai berenang tetapi amat gemar mandi sungai setiap kali pulang bercuti.
No comments:
Post a Comment