Tuesday, February 15, 2011

Terengganu Penuhi Tuntutan Pendidikan Abad ke-21

Ahmad Said bersama murid Tahun Lima yang memperolehi e-Book selepas majlis penyerahan alat bantuan belajar itu di SK Kebor Air, Manir. - Gambar oleh Syed Abdul Rahman.

Terengganu muncul antara negeri yang memenuhi tuntutan keperluan pendidikan pada abad ke-21 apabila mempraktikkan alat bantuan mengajar, e-Book dalam sistem pelajaran negeri, selain terus menggunakan guru dan buku.

Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu, Razali Daud, berkata sistem pendidikan pada zaman yang penuh persaingan hari ini memerlukan pembaharuan dan transformasi terutama dalam kaedah mengajar termasuk dalam penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

“Pelajaran pada abad ke-21 berasaskan kepada guru, buku dan juga ICT . Oleh itu, kerajaan Terengganu memenuhi tuntutan itu bagi memastikan pada era globalisasi semua masyarakat khususnya pelajar dan ibu bapa celik dan mahir IT sebagai asas sebenar pembangunan.

“Guru juga harus mendalami dan mengejar ilmu dalam bidang ICT supaya dalam suasana pembelajaran hari ini mereka tidak lagi ketinggalan khususnya dalam melahirkan pelajar cemerlang,” kata beliau ketika Majlis Penyerahan e-Book Tahun Lima bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Teluk Pasu, di Sekolah kebangsaan (SK) Kebor Air, Manir, Kuala Terengganu, semalam(14 Februari).

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said; Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd Rahman dan Pengerusi Jawatanpelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri yang juga Adun Teluk Pasu, Datuk Abdul Rahin Mohd Said serta

Dalam majlis itu, 639 murid Tahun Lima daripada SK kebor Air (41 murid); SK Kesom (83); SK Teluk Pasu (87); SK Kebor Besar (58); SK Kampung Tengah (192); SK Bukit Petiti, 32 murid dan SK Banggol Peradong 146 murid menerima e-Book masing-masing yang disampaikan Menteri Besar.


Razali berkata, hasrat mewujudkan `satu murid, satu komputer ‘ di negeri ini hampir berjaya dengan terlaksananya program pengagihan papan digital elektronik berkenaan yang hanya dirintis oleh Kerajaan Terengganu.

Selain itu, usaha mewujudkan masyarakat celik IT juga mampu direalisasikan sejajar dengan matlamat menjadikan `satu rumah, satu komputer’ yang mana e-Book yang diperolehi murid juga dapat diguna sama oleh ibu bapa serta keluarga ke arah perkara positif, selain mengasah pengalaman dalam bidang IT.


Unit Komunikasi Negeri

No comments:

Post a Comment