Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said hari ini meminta ibubapa pelajar jangan bimbang dengan anak-anak mereka di Mesir kerana keadaan terkawal.
Bilik gerakan dibuka untuk memindahkan terlebih dahulu pelajar dari Mesir, termasuk di Mansurah ke Jeddah dan menginap di asrama Tabung Haji sebagai transit sebelum pulang ke tanah air menaiki kapal laut.
Bagi misi menyelamatkan pelajar ini, Terengganu menghantar tiga pegawai ke Jeddah di ketuai pegawai khas hal ehwal pelajar di Mesir, Haji Ahnmad Kamal Abdullah (bekas ADUN Sura/bekas Imam Besar), seorang Pegawai Yayasan Terengganu (YT) dan seorang dari Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu hari ini.
Menteri Besar berkata demikian di Dewan Tunku Abdul Rahman pagi ini selepas mengunjungi rumah terbuka MCA sempena Tahun Baru Cina.
Hadir sama, Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri, Tengku Putera Awang, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah dan Datuk Bandar Kuala Terengganu, Datuk Azlan Dagang.
Kelmarin beliau berkata kerajaan negeri terus memantau perkembangan pelajar tajaan Yayasan Terengganu di Mesir melalui laporan Wisma Putra di Putrajaya.
Katanya, kerajaan negeri telah menasihati pelajar-pelajar yang tinggal di rumah sewa supaya berpindah ke Asrama Terengganu di Kaherah dan Mansurah yang masih ada kekosongan.
"Kita nasihatkan mereka supaya jangan terlibat dengan demonstrasi. Mereka hendaklah berada di tempat yang selamat," katanya.
Kini ada 247 pelajar Yayasan Terengganu yang sedang mengikuti pengajian Islam dan kedoktoran di Mesir.
Sementara itu, YT meminta ibu bapa pelajar Terengganu bersabar menunggu kepulangan anak mereka dari Mesir kerana Kementerian Luar sedang menguruskan kepulangan semua pelajar Malaysia yang berada di negara sedang bergolak itu.
Pengarah YT, Aziz Mamat berkata, pihaknya tidak boleh menguruskan kepulangan pelajar dari Terengganu secara terus kerana urusan itu tertakluk kepada bidang kuasa Kementerian Luar.
“Sebagai penaja, YT dan pelbagai agensi lain hanya menunggu tindakan selanjutnya dari Wisma Putra bagi menguruskan kepulangan pelajar yang berada di Mesir. Kita tidak boleh bertindak secara terus walaupun didesak oleh ibu bapa pelajar yang ditaja,” katanya semalam.
“Kita bertuah kerana terdapat beberapa pegawai kerajaan, termasuk Pengarah Yayasan Islam Terengganu, Haji Kamaru Al-Amin Ismail, kebetulan berada di negara tersebut atas urusan rasmi,” katanya.
Katanya, daripada maklumat yang diterima dari Kementerian Luar dan pegawai tersebut para pelajar Terengganu masih berada di negara Mesir dan mereka akan dipindahkan ke negara berdekatan dalam tempoh terdekat sebelum dibawa pulang ke Malaysia sama ada dengan menaiki kapal laut atau kapal terbang.
Unit Komunikasi Negeri Terengganu
No comments:
Post a Comment