Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sedang berbincang dengan Bukit Merah Arowana Farm (BMAF) Sdn Bhd untuk memulakan kerjasama dalam kerja-kerja penyelidikan ikan Kelisa (Arowana) tahun ini.
Naib Canselor UMT Prof Dr Aziz Deraman berkata hasil perbincangan itu BMAF melihat ada peluang bagi mereka untuk membuka sebuah makmal penyelidikan ikan hiasan itu di UMT.
Menurutnya ketika ini BMAF turut membantu penyelidikan UMT dalam bidang itu dengan menyediakan kemudahan penyelidikan di pejabat mereka untuk kegunaan UMT.
"Kami akan usahakan supaya tahun depan sebuah makmal dibuka di UMT di sini," katanya ketika ditemui Bernama di Kuala Terengganu, semalam.
BMAF adalah sebuah syarikat ikan hiasan Arowana terbesar di semenanjung yang beroperasi di Bukit Merah, Perak yang mengeksport ikan-ikan itu ke negara-negara seperti Jepun, Taiwan, China, Korea, England, Hong Kong dan lain-lain.
Mengenai hasrat UMT untuk menjadi sebuah universiti yang mempunyai ciri-ciri universiti penyelidikan menjelang tahun 2015, Aziz berkata pihaknya sedang meningkatkan keupayaan ke arah itu.
"Kami mahu UMT setanding dengan universiti-universiti penyelidikan sedia ada," katanya.
No comments:
Post a Comment