Tuesday, February 8, 2011

Terengganu Sedia Untuk Pertumbuhan Lanjut

Terengganu bersedia untuk lebih banyak pembangunan ekonomi dengan penubuhan Pusat Bandar Kuala Terengganu (KTCC) di bawah program Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

KTCC akan menjana pelaburan bernilai RM3.9 bilion, di mana RM3.5 bilion akan datang daripada sektor swasta.

KTCC akan membantu Kuala Terengganu menjadi Bandaraya Pinggir Pantai Warisan dan pintu gerbang pelancongan antarabangsa untuk Pantai Timur.

Ketua pegawai eksekutif Majlis Pembangunan ECER (ECERDC) Datuk Jebasingam Issacs John dilaporkan sebagai berkata ECER telah menarik perjanjian pelaburan sebanyak RM26bilion daripada sumber tempatan dan asing.

Kajian projek KTCC kini pada peringkat terakhir dan rekabentuk infrastruktur terperinci akan dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia ke-10.

Projek KTCC membuktikan Kuala Terengganu kini bersedia untuk transformasi besar-besaran.

Kuala Terengganu mempunyai satu-satunya lapangan terbang antarabangsa di Pantai Timur dan berperanan sebagai hab bagi wilayah itu, dilengkapkan oleh Fasa 2 Lebuhraya Pantai Timur yang dijangka siap tahun ini.

Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said dilaporkan sebagai berkata di bawah Rancangan Malaysia ke-9, 38 projek telah diluluskan untuk dilaksanakan di Terengganu termasuk 14 projek merentas sempadan dengan lain-lain negeri ECER.

"17 projek telah dilaksanakan pada 2008, 15 projek tahun lepas sementara enam lagi projek akan dilaksanakan tahun ini.

"Pada keseluruhannya, saya amat berpuashati dengan semua projek ini," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat majlis bulan lepas.

Jebasingam juga dilaporkan sebagai berkata terdapat beberapa projek di Zon Ekonomi Khas ECER yang berupaya menarik minat pelabur seperti taman plastik dan polimer Malaysia yang pertama, Taman Polimer Kertih (KPP), yang kini sedia untuk diduduki di kawasannya seluas 140 hektar.

KPP, satu projek utama di bawah inisiatif minyak, gas dan petrokimia ECER, akan membantu Malaysia meningkat dalam rangkaian nilai industri hiliran petrokimia.

Taman polimer itu telah menarik pelabur-pelabur utama termasuk Hi Essence, penyewa pertama yang telah memulakan operasi tahun lepas.

Untuk menyokong pembangunan ekonomi Terengganu, projek pelajaran dan ICT seperti Taman Pengetahuan yang termasuk bandar universiti, Ibusawat Perniagaan Digital Antarabangsa, sebuah pusat data internet dan Pusat Animasi Global akan dilaksanakan secara berperingkat pada 2011.

Sementara itu, industri halal negeri terus berkembang pesat dengan penubuhan pusat serantau bagi produk halal di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) untuk membantu syarikat mendapatkan sijil halal.

Setakat ini, 250 syarikat telah mendapat manfaat daripada bimbingan dan rundingan yang diberikan oleh UniSZA.

Bagi pertanian, kerja-kerja awal sedang berjalan untuk Pusat Penternakan Kambing dan Inovasi Kuala Berang yang dijangka siap dua tahun lagi.

No comments:

Post a Comment