Yayasan Pelajaran Mara (YPM) menaja 60,000 naskhah akhbar Utusan Malaysia untuk diedar di wad-wad hospital dan sekolah terpilih di seluruh negeri, sepanjang tahun ini.
Akhbar tersebut akan diedarkan ke wad-wad hospital di negeri Terengganu pada setiap hari untuk bacaan waris yang menunggu pesakit dan para pelajar di sekolah berkenaan.
Pengerusi YPM, Datuk Rosli Mat Hassan, berkata langkah penajaan itu bertujuan menggalakkan budaya membaca di kalangan masyarakat negeri ini, khususnya di kalangan orang Melayu.
Beliau berkata, hasil penyelidikan pihaknya mendapati budaya membaca di kalangan orang Melayu amat kurang berbanding bangsa lain, justeru itu pihaknya mengambil inisiatif menaja akhbar tersebut sebagai bahan bacaan.
“Kita harap budaya membaca di kalangan masyarakat negeri ini akan ditingkatkan, seterusnya dapat mewujudkan masyarakat yang ilmiah dan berpengetahuan,” katanya pada majlis penyerahan cek bagi membiayai penajaan akhbar berkenaan di Hotel Primula semalam.
Pada majlis itu, beliau menyerahkan cek tajaan bernilai RM60,000 kepada Pengerusi Kumpulan Utusan Melayu (M) Bhd, Tan Sri Muhamad Hashim Ahmad Makarudin.
Sementara itu, Tan Sri Muhamad Hashim berkata, pihaknya mengalu-alukan langkah yang diambil YPM menaja akhbar untuk diedar di wad hospital dan sekolah kerana ia memberi manfaat kepada masyarakat tempatan.
Beliau berkata, dengan adanya bahan bacaan tersebut waris pesakit dapat memenuhi masa lapang mereka dengan membaca dan menambah pengetahuan dalam pelbagai bidang.
Selepas majlis itu Hashim membuat kunjungan hormat terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said di Wisma Darul Iman.
No comments:
Post a Comment