Wednesday, March 2, 2011

18 Atlet Terengganu Wakili Sukan Asia, Komanwel Terima Insentif

Wan Ahamad menerima pelantikan sebagai Ketua
Kontijen Sukma ke 14 Terengganu.

Seramai 18 atlet Terengganu yang mewakili negara pada Sukan Komanwel dan Sukan Asia tahun lepas menerima insentif daripada kerajaan negeri bernilai hampir RM100,000.

Mereka terdiri daripada atlet berbasikal, skuasy, hoki lelaki, hoki wanita, sepak takraw, ragbi dan angkat berat dengan jumlah antara RM1,000 hingga RM15,000 seorang.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Rozi Mamat menyampaikan insentif itu pada majlis pelancaran Kontinjen Terengganu Sukma Ke-14 , di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Terengganu, semalam.

Sementara itu, Timbalan Setiausaha Kerajaan (TSUK) negeri, Datuk Wan Ahamad Wan Muda dilantik sebagai `Chef De Mission’ atau Ketua Kontinjen Sukan Malaysia (Sukma) Ke-14 Terengganu sekaligus menggalas misi Terengganu selaku `Kuasa Baru Sukan Negara’ untuk kekal sebagai juara Sukma kali ketiga berturut-turut.

Beliau menerima pentauliahan bagi mengetuai kontinjen `Terengganu Hanelang’ itu daripada Rozi sempena majlis berkenaan.

Wan Ahamad berbesar hati dengan pelantikan itu dan akan menjalankan tanggungjawab yang diberikan dengan sebaik mungkin serta akan bekerjasama dengan semua pihak khususnya Majlis Sukan Negeri (MSN) serta pihak pengurusan sukan yang lain bagi menjayakan matlamat dan hasrat semua.

“Walaupun bagi mencapai kecemerlangan dan mengekalkan kejayaan sebagai `kuasa baru sukan negara’ dengan menjuarainya untuk kali ketiga-tiga berturut-turut bukan perkara yang mudah untuk dicapai, saya akan berusaha dan memberi komitmen yang sewajarnya demi kepentingan sukan negeri dan negara amnya. Sama-sama kita berdoa dan melakukan yang terbaik untuk tujuan murni ini,” katanya.

Wan Ahamad merupakan individu yang tidak asing dalam pembangunan sukan Terengganu kerana MSN adalah satu jabatan yang terletak di bawah kawalan beliau secara langsung.

Malah, beliau adalah antara pengasas kepada penubuhan Pasukan Terengganu Pro-Asia Cycling Team (TSG) dan dilantik selaku Timbalan pengerusi Pengurusan TSG.

Beliau sendiri yang mengambil inisiatif tinggi untuk memastikan hasrat Menteri Besar untuk menubuhkan satu pasukan berbasikal bertaraf dunia serta mengumpul pelumba negeri ini bagi memastikan kebajikan mereka terjaga dapat direalisasikan dengan tertubuhnya pasukan TSG, sekaligus menjadikan Terengganu satu-satunya negeri yang memiliki pasukan basikal profesional.

Wan Ahamad sebelum berkhidmat sebagai TSUK (Pengurusan) pernah berkhidmat ialah Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri Besar.

No comments:

Post a Comment