Wednesday, March 2, 2011

Lelaki Bakar Rumah Juga Positif Dadah

Musnah...rumah yang dibakar lelaki berusia 39 tahun selepas bertengkar dengan isterinya.

Tidak sukar untuk menahan lelaki yang membakar rumahnya sendiri selepas bergaduh dengan isteri di Kampung Balik Bukit, Setiu.

Polis berjaya menahan lelaki berusia 39 tahun itu kira-kira 24 jam selepas kejadian apabila kira-kira pukul 11 malam kelmarin di Hospital Setiu apabila dia datang untuk mendapatkan rawatan atas kecederaan yang dialami akibat kejadian malam kelmarin.

Selain dikehendaki kerana membakar rumah sendiri, suspek yang didapati positif ujian dadah itu ditahan reman beberapa hari untuk siasatan lanjut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan berkata, dia ditahan hasil maklumat orang awam ketika datang ke Hospital Setiu untuk mendapatkan rawatan.

Menurut Manoharan, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana khianat menggunakan api.

Dalam kejadian pukul 12 tengah malam kelmarin, suspek dikatakan bertindak membakar rumahnya sendiri setelah naik berang selepas bertengkar dengan isterinya.

Isterinya yang berusia 35 tahun dan bekerja sebagai pembantu di stesen minyak berhampiran ternampak kepulan asap tebal dari rumahnya ketika berada di rumah jiran. Wanita itu dilaporkan mengesyaki suaminya yang panas baran membakar rumah berkenaan dan mendakwa pernah mengugut berbuat demikian ketika mereka bertengkar suatu ketika dulu.

Kebakaran itu turut memusnahkan sebuah stor dan bengkel membaiki motosikal yang terletak berhampiran.

No comments:

Post a Comment