Tuesday, March 8, 2011

30 Pelajar Imtiaz Jayakan Program Tadarus al-Quran 13 Mac

Khazan Che Mat (duduk lima dari kanan) bersama pihak penganjur dan peserta program Tadarus al-Quran anjuran Radio Malaysia Terengganu di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, semalam.
Sempena musim cuti sekolah pertengahan bulan ini, Radio Malaysia Terengganu (TFM) akan menganjurkan program Tadarus al-Quran yang bermula 13 Mac depan.

Pengarah Penyiaran negeri, Dr. Nawiyah Che Lah berkata, seramai 30 pelajar dari Sekolah Menengah Imtiaz akan memperdengarkan bacaan mereka di Masjid Kristal, Taman Tamadun Islam (TTI).

"Pelajar yang memperdengarkan bacaan mereka selama lima hari itu bermula pada pukul 9pagi hingga 6 petang dan rakaman tadarus 30 juzuk itu disiarkan sepanjang Ramadan tahun ini.

"Majlis khatam pula diadakan pada hari terakhir program berkenaan, " katanya ketika berucap pada majlis perasmian Tadarus al-Quran Bersama TFM di TTI, dekat Kuala Terengganu semalam.

Perasmian program dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Yayasan Terengganu dan TTI Management Sdn. Bhd. itu disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Khazan Che Mat.

Turut hadir, Pesuruhjaya JHEAT, Datuk Shaikh Harun Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Wan Harujan Sulaiman.

Tambah Dr. Nawiyah, program itu merupakan kesinambungan daripada program sama tahun lalu yang melibatkan 60 pelajar Institut al-Quran Terengganu (IQ).

"Program ini merupakan usaha pihak kami untuk menarik pendengar terutama golongan pelajar mendekati dan mencintai al-Quran seterusnya menghayati maksud yang terkandung di dalamnya," katanya.

Menurutnya, TFM sentiasa berusaha untuk mendekatkan diri kepada masyarakat dengan menganjurkan pelbagai program seperti Suara Kampus dan Terengganu Indah.

"Tidak ketinggalan, rancangan berbentuk keagamaan seperti Tadarus al-Quran, Suara Masjid dan Suara Azan turut diperkenalkan bagi memastikan semua peringkat masyarakat mendapat maklumat sebaik mungkin.

"TFM memperbanyakkan program seumpama ini yang bakal memaparkan aktiviti masyarakat serta lokasi menarik di negeri ini untuk diterokai dan diperkenalkan menjadi aset pelancongan yang berharga," katanya.

No comments:

Post a Comment